NEW DELHI: Sekurang-kurangnya tiga negeri di India mengharamkan penjualan satu jenama sirap batuk selepas beberapa kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat pengambilannya, menurut pihak berkuasa tempatan dan laporan media pada Ahad.
Sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negeri Madhya Pradesh dan Rajasthan dilaporkan maut sejak akhir Ogos selepas meminum ubat batuk yang diberikan kepada mereka.
Kementerian Kesihatan India dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, ujian makmal terhadap sampel sirap tersebut mendapati ia tercemar dengan diethylene glycol (DEG), bahan kimia beracun yang digunakan dalam pelarut industri dan boleh membawa maut walaupun dalam jumlah kecil.
“Sampel didapati mengandungi DEG melebihi had yang dibenarkan,” kata kementerian itu dalam kenyataan rasmi.
Produk yang dijual di bawah jenama Coldrif Cough Syrup itu dikeluarkan oleh syarikat Sresan Pharma, yang beroperasi di negeri Tamil Nadu di selatan India.
Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav, berkata penjualan sirap tersebut kini diharamkan di seluruh negeri selepas kebanyakan kes kematian dilaporkan berlaku di kawasan itu.
“Penjualan produk lain keluaran syarikat yang sama juga akan turut diharamkan,” katanya.
Media tempatan turut melaporkan bahawa kerajaan negeri Tamil Nadu dan Kerala telah mengambil langkah sama dengan mengharamkan penjualan sirap tersebut di wilayah masing-masing.
Beberapa tahun kebelakangan ini, sirap batuk keluaran India sering menjadi perhatian antarabangsa selepas dikaitkan dengan beberapa kes kematian kanak-kanak di seluruh dunia termasuk lebih 70 kematian di Gambia pada tahun 2022. -AGENSI










