LONDON: Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) mengesahkan beberapa anggota tentera Britain telah dikerahkan ke Israel sebagai sebahagian daripada misi yang diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk memantau gencatan senjata di Gaza.
“Beberapa pegawai perancang UK ditempatkan dalam misi Civil Military Coordination Centre (CMCC) yang diketuai AS,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan kepada AFP, termasuk seorang pegawai yang akan berkhidmat sebagai timbalan komander operasi tersebut.
Setiausaha Pertahanan UK, John Healey, berkata, Britain akan memainkan peranan utama dalam usaha itu atas permintaan AS.
“Kita dapat menyumbang dalam pemantauan gencatan senjata.
“Sebagai respon kepada permintaan AS, kita juga sudah menempatkan seorang pegawai berpangkat dua bintang yang berpengalaman dalam struktur komando awam dan tentera sebagai timbalan komander.
“Jadi, Britain akan memainkan peranan utama,” kata Healey pada satu acara di pusat bandar London.
Pengesahan itu dibuat ketika Naib Presiden AS, JD Vance merasmikan pusat penyelarasan bersama AS-Israel di barat daya Israel.
Ketegangan dilaporkan masih wujud berhubung pelaksanaan gencatan senjata, dengan Hamas menyatakan mereka memerlukan masa dan bantuan teknikal untuk mencari mayat tebusan Israel yang masih tertimbus di bawah runtuhan di Semenanjung Gaza.-AFP