MIAMI: Sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK), DEEP, memperkenalkan rekaan inovatif dikenali sebagai Vanguard, iaitu ‘habitat manusia bawah laut’ yang bertujuan membolehkan para penyelidik tinggal dan menjalankan kajian di dasar laut selama beberapa hari.
Prototip kapal selam khas itu didedahkan semalam di sebuah hangar di Miami, Florida, dengan harapan ia dapat digunakan oleh ahli oseanografi dan saintis lain untuk kekal di bawah laut sekurang-kurangnya seminggu, berbanding hanya beberapa jam seperti misi penyelaman biasa.
“Terdapat banyak zon di lautan seluruh dunia yang masih belum diterokai pada kedalaman tersebut. Jika kawasan ini dapat diakses oleh penyelam, ia akan membuka dunia sains yang sepenuhnya baharu,” kata Ketua Pegawai Teknologi DEEP, Norman Smith, yang juga ketua jurutera di sebalik projek Vanguard, kepada AFP.
Buat masa ini, Vanguard hanya ditempatkan pada kedalaman 20 meter, tahap yang masih boleh dicapai oleh penyelam skuba.
Namun, DEEP sedang membangunkan versi baharu yang mampu menyelam sehingga 200 meter.
Kapal itu terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu ruang kediaman, pusat penyelaman, dan pangkalan dasar laut.
Ruang kediaman berukuran 12 meter panjang dan 3.7 meter lebar itu direka untuk menampung empat orang penyelidik bagi makan, tidur dan bekerja dengan selamat daripada tekanan air laut.
Pusat penyelaman pula berfungsi sebagai penghubung kepada pangkalan bawah laut yang akan ditambat pada dasar laut bagi melindungi keseluruhan habitat daripada ombak dan ribut.
Selain itu, Vanguard turut dilengkapi struktur terapung di permukaan air bagi membekalkan udara termampat, tenaga elektrik serta sistem komunikasi dengan dunia luar.
DEEP dijangka akan menguji Vanguard buat kali pertama dalam beberapa minggu lagi di perairan Florida, dengan harapan ia dapat digunakan untuk projek pemuliharaan laut jangka panjang termasuk pemulihan terumbu karang.










