GAZA: Beberapa hari selepas Hamas dan Israel mencapai gencatan senjata di Gaza, penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu belum pulih sepenuhnya, dengan kemasukan bantuan kekal terhad dan jauh daripada mencukupi.
Setakat Khamis, kurang daripada 300 lori dibenarkan memasuki Gaza setiap hari, hanya separuh daripada 600 lori yang diperlukan untuk menampung keperluan asas penduduk.
Menurut sumber Al Jazeera, sebahagian lori yang dibenarkan masuk membawa barangan dagangan komersial dan bukannya bekalan kemanusiaan, sekali gus menjejaskan peluang ribuan penduduk, termasuk kanak-kanak sakit, untuk mendapatkan bantuan yang amat diperlukan.
TERDESAK TUNGGU BANTUAN
Wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary, yang membuat liputan dari Deir el-Balah, berkata bantuan kemanusiaan masih belum sampai kepada golongan paling terjejas di Gaza, termasuk kanak-kanak.
“Kanak-kanak di sini tidak mempunyai apa-apa. Mereka memerlukan pakaian, kasut, kit kebersihan dan bekalan perubatan.
“Namun, tiada apa-apa akan disalurkan kepada penduduk selagi stok di gudang belum mencukupi, sebab itu tiada sebarang agihan dijalankan di lapangan ketika ini,” katanya.
Seorang wanita Palestin, Randa Aldhadar, yang mempunyai bayi perempuan, memaklumkan kepada Al Jazeera dia kini berada dalam keadaan terdesak menunggu ketibaan bantuan kemanusiaan.
Kekurangan makanan menyebabkan Randa tidak lagi mampu menghasilkan susu untuk bayinya, yang kini mengalami kekurangan zat makanan teruk dan berada di ambang kematian.
“Pihak hospital masih belum dapat menyediakan bantuan yang diperlukan untuk memulihkan keadaan anak saya, seperti biskut, susu dan makanan tambahan, supaya dia dapat pulih serta kembali sihat,” katanya.
Di Hospital Persatuan Kebajikan Rakan Pesakit (PFBS) di Gaza City, Tahani Hassouna turut berdepan penderitaan apabila terus menjaga bayi perempuannya yang menghidap penyakit jantung serius.

“Disebabkan kekurangan peralatan perubatan di hospital ini, dia tidak mendapat rawatan yang mencukupi.
“Penyakitnya menghalang dia daripada menambah berat badan, dan kini sepenuhnya bergantung kepada bantuan oksigen untuk bernafas,” kata Tahani.
Katanya, setiap hari dia menunggu dengan penuh harapan sempadan dibuka semula supaya dapat ke luar negara bagi menjalani pembedahan yang boleh menyelamatkan nyawa bayinya itu.
PEMBUKAAN LINTASAN RAFAH
Israel sekali lagi menangguhkan pembukaan semula lintasan Rafah di Gaza, yang menghubungkan wilayah itu dengan Mesir bagi membolehkan pergerakan keluar masuk penduduk.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mendakwa lintasan berkenaan mungkin dibuka pada Ahad, susulan serangan rejim di selatan Gaza yang meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa rakyat Palestin.
COGAT iaitu badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel memaklumkan penyelarasan dijalankan dengan Mesir bagi menetapkan tarikh pembukaan semula lintasan Rafah untuk pergerakan orang awam, selepas semua persiapan yang diperlukan selesai.
Namun, COGAT mendakwa lintasan Rafah akan kekal ditutup bagi penghantaran bantuan, dengan alasan perkara itu ‘tidak pernah dipersetujui pada mana-mana peringkat’.

Menurut badan itu, semua bekalan kemanusiaan yang menuju ke Gaza akan disalurkan melalui lintasan Karem Shalom selepas pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Israel.
Bagi penduduk Palestin di Gaza, lintasan Rafah merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan mereka dengan dunia luar dan pintu keluar yang tidak dikawal secara langsung oleh Israel.
Namun, pada Mei lalu, pasukan Israel menyerbu lintasan berkenaan, mengambil alih kawalan serta memusnahkan bangunannya.
Buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, pasukan Israel kini mengawal secara langsung lintasan sempadan itu dan menempatkan tenteranya di sepanjang Koridor Philadelphi, di mana mereka masih kekal hingga hari ini.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, Israel sepatutnya berundur secara berperingkat dari Gaza.
Namun, tentera Israel masih menguasai 53 peratus wilayah Gaza, termasuk sebahagian besar Rafah.