WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) menolak pelaksanaan tarif global yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump melibatkan lebih 100 negara, selepas meluluskan satu usul untuk membatalkan dasar tersebut pada Khamis.
Dalam undian yang berlangsung di Dewan Senat, empat ahli Republikan bergabung dengan semua senator Demokrat, menjadikan keputusan akhir 51 undi menyokong dan 47 menolak bagi membatalkan tarif timbal balik yang dilaksanakan menerusi perintah eksekutif presiden.
Ini merupakan kali ketiga minggu ini ahli Republikan menentang dasar tarif Trump, selepas sebelum ini mengundi untuk menamatkan tarif ke atas Brazil dan Kanada.
Langkah tersebut dianggap luar biasa kerana jarang sekali ahli Republikan menentang presiden dari parti sendiri dalam penggal kedua pentadbirannya. Antara yang menyertai blok penentang ialah Senator Susan Collins (Maine), Mitch McConnell dan Rand Paul (Kentucky), serta Lisa Murkowski (Alaska).
Undian itu dibuat ketika Trump menamatkan lawatan seminggu di Asia, di mana beliau dilaporkan mencapai persetujuan dengan China untuk mengurangkan tarif ke atas barangan China serta memastikan Beijing membeli hasil soya dari AS. Sebelum ini ia menjadi antara isu utama dalam perang perdagangan yang pernah menjejaskan komuniti petani AS.
Walaupun Senat menunjukkan penentangan, Dewan Perwakilan dijangka tidak akan mengambil tindakan sama susulan peraturan yang diluluskan oleh Republikan awal tahun ini yang menghalang sebarang usul mengenai tarif daripada dibawa ke undian rasmi.
Usul tersebut dilihat sebagai isyarat simbolik penolakan terhadap tindakan unilateral Trump, yang didakwa melangkaui kuasa presiden dengan mengetepikan peranan Kongres dalam hal ehwal perdagangan.
Senator Demokrat Tim Kaine dari Virginia berkata, penentangan itu walaupun kecil, tetap memberi kesan politik terhadap presiden.
“Berdasarkan pengalaman penggal pertama Trump, saya tahu beliau peka terhadap perkara seperti ini. Apabila melihat ahli partinya sendiri mula menolak dasar beliau walaupun sedikit, ia memberi kesan dan boleh membuatkan beliau menilai semula tindakannya,” katanya kepada pemberita. -AGENSI










