CHERNIHIV: Bandar Chernihiv kini bergelap sepenuhnya selepas berdepan serangan besar-besaran oleh peluru berpandu dan dron Russia, yang disifatkan pihak berkuasa sebagai antara serangan paling dahsyat setakat ini.
Menurut laporan, empat penduduk terbunuh di wilayah Chernihiv, Ukraine selepas kawasan perumahan di bandar Novhorod-Siverskyi diserang, manakala 10 lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.
Serangan terbaharu itu menambah deretan serangan terhadap prasarana awam Ukraine, termasuk sistem tenaga, jaringan kereta api serta kawasan kediaman dan perniagaan, sebahagian daripada usaha Moscow melemahkan daya tahan rakyat Ukraine menjelang musim sejuk.
Chernihiv yang terletak berhampiran sempadan Russia dan Belarus memberi kelebihan taktikal kepada Moscow kerana sistem pertahanan udara Ukraine mempunyai masa yang sangat singkat untuk bertindak balas terhadap serangan udara.
Dalam serangan kali ini, lebih 100 dron Shahed, masing-masing membawa bahan letupan seberat 50 kilogram bersama enam peluru berpandu balistik dilancarkan ke arah bandar itu, menyebabkan semua loji janakuasa lumpuh dan seluruh bandar terputus bekalan elektrik.
Menurut Timbalan Ketua Pentadbiran Tentera Wilayah Chernihiv, Andriy Podorvan, serangan itu adalah sebahagian daripada pola serangan berterusan yang semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Sejak setengah tahun lalu, kami berdepan serangan yang disasarkan ke atas infrastruktur tenaga. Namun dalam dua bulan terakhir, kekerapan serangan meningkat dengan ketara,” katanya.
Gangguan bekalan elektrik turut menyebabkan sistem pam air terhenti, memaksa penduduk menadah air botol atau bergantung kepada penghantaran kecemasan manakala pasukan jurutera terpaksa menangguhkan kerja pemulihan awal kerana serangan masih berterusan pada waktu pagi.
Pihak berkuasa bimbang sekiranya kadar serangan ini berlanjutan, ia boleh menjejaskan ketahanan tenaga negara, melumpuhkan ekonomi serta memberi kesan psikologi mendalam menjelang musim sejuk.
Syarikat tenaga Ukraine sebelum ini berjaya memulihkan bekalan dengan pantas melalui kerjasama semangat waktu perang, namun stok alat ganti semakin berkurangan di mana sebuah transformer sahaja boleh mengambil masa lebih setahun untuk dihasilkan, dihantar dan dipasang.
Dalam masa sama, Presiden, Volodymyr Zelensky dilaporkan sedang mencari bantuan antarabangsa meskipun pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washington baru-baru ini tidak membuahkan hasil dalam mendapatkan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk.
Namun, rundingan beliau dengan syarikat tenaga utama AS dilaporkan mencapai kemajuan positif.
Kerugian terhadap sektor tenaga Ukraine dianggarkan melebihi AS$16 bilion (RM67 bilion). -AGENSI











