GAZA: Penduduk di kawasan tengah dan selatan Gaza mula menaruh harapan selepas berita mengenai penerimaan gencatan senjata oleh Hamas dan reaksi positif daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Suasana yang sebelum ini penuh ketakutan kini berubah kepada rasa syukur dan tidak percaya langkah menuju kedamaian mungkin akhirnya bermula.
“Ramai tidak menyangka Hamas akan bersetuju dan lebih mengejutkan apabila Trump memberikan respons positif,” kata seorang penduduk tempatan ketika ditemui.
Namun, di sebalik harapan itu, wujud persoalan besar yang masih belum terjawab iaitu adakah mereka dibenarkan kembali ke Gaza City?
“Itulah soalan pertama yang ditanya orang ramai , bolehkah kami pulang ke Gaza City? Tapi buat masa ini, tiada jawapan pasti. Kami hanya diminta tunggu arahan selanjutnya,” tambahnya.
Dalam pada itu, kegembiraan ini masih dibayangi realiti kehidupan yang menghimpit iaitu kebuluran yang semakin meruncing.
Ribuan keluarga masih bergelut mendapatkan makanan asas dengan bantuan kemanusiaan masih belum sampai secara menyeluruh.
Kekaburan mengenai pelaksanaan gencatan senjata turut menimbulkan kebimbangan terhadap nasib penghantaran bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh lebih dua juta penduduk Gaza, terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Pemerhati antarabangsa menyifatkan situasi ini sebagai detik genting, sama ada harapan untuk kedamaian akan direalisasikan, atau terus terkubur di bawah runtuhan serangan dan kelaparan.










