Polis Mumbai selamatkan 17 kanak-kanak dijadikan tebusan di sekolah - Utusan Malaysia

Polis Mumbai selamatkan 17 kanak-kanak dijadikan tebusan di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Polis di Mumbai menyelamatkan 17 kanak-kanak dan dua orang dewasa yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki di sebuah sekolah lakonan di kawasan Powai, pada Khamis.

Menurut pihak berkuasa, kanak-kanak terbabit berada di sekolah berkenaan untuk menghadiri sesi ujibakat apabila suspek tiba-tiba mendakwa telah menahan mereka sebagai tebusan.

Pegawai polis berkata pasukan keselamatan pada mulanya cuba berunding dengan suspek, namun lelaki itu enggan bekerjasama dan bertindak agresif, memaksa polis menggunakan kekerasan untuk memecah masuk ke bangunan.

“Kami cuba berunding, tetapi apabila dia tetap berdegil, pasukan kami terpaksa merempuh untuk masuk ke dalam,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Datta Nalawade.

Pasukan khas polis dilaporkan memasuki bangunan itu melalui tingkap bilik air, dan menemui sepucuk pistol angin serta bahan kimia yang belum dikenal pasti di lokasi kejadian.

Menurut polis, suspek yang dikenal pasti sebagai Rohit Arya ditembak ketika operasi menyelamat dijalankan dan disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama selepas itu.

Insiden itu menyebabkan panik di kalangan ibu bapa yang berkumpul di luar bangunan bersama penduduk setempat.

Saluran berita India turut menyiarkan rakaman video menunjukkan lelaki berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai Rohit Arya dan mendakwa dia menahan kanak-kanak itu kerana mahu mengajukan soalan kepada pihak tertentu.

Dalam video tersebut, Arya turut mengancam untuk membakar bangunan jika pihak berkuasa mengambil sebarang tindakan silap.

Polis kini meneruskan siasatan terhadap bahan kimia dan motif sebenar di sebalik tindakan suspek itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN