RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammed Mustafa mengumumkan pelan pembangunan semula Gaza bernilai AS$65 bilion (RM274 bilion) dalam satu mesyuarat bersama pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan wakil diplomatik di Ramallah, semalam.
Pelan lima tahun itu dirangka untuk dilaksanakan dalam tiga fasa utama, meliputi 18 sektor penting termasuk perumahan, pendidikan, pentadbiran, infrastruktur dan keselamatan.
“Saya ingin percaya dalam tempoh 12 bulan dari sekarang, Pihak Berkuasa Palestin (PA) akan beroperasi sepenuhnya di Gaza,” kata Mustafa dalam sidang berkenaan yang turut dihadiri menteri-menteri Palestin, ketua agensi PBB serta wakil diplomatik asing.
Katanya, pelan itu akan menjadi asas ke arah mewujudkan satu kerajaan Palestin yang bersatu, sekali gus mengembalikan penyatuan politik dan wilayah antara Gaza serta Tebing Barat.
“Visi kami jelas iaitu Gaza akan dibangunkan semula sebagai wilayah yang terbuka, bersambung dan makmur dalam negara Palestin,” katanya.
PA tidak lagi mentadbir Gaza sejak kumpulan Hamas mengambil alih wilayah itu pada tahun 2007, namun masih menyalurkan beberapa perkhidmatan asas di kawasan berkenaan.
Menurut Mustafa, pelan tersebut turut membina asas daripada persidangan negara-negara Arab di Kaherah pada Mac 2025, yang memperuntukkan latihan keselamatan bersama Mesir dan Jordan.
Beliau turut mendedahkan perbincangan teknikal sedang dijalankan dengan Kesatuan Eropah (EU) melibatkan aspek kawalan sempadan, sistem kastam serta unit kepolisan bersama.
EU merupakan antara penyumbang kewangan terbesar kepada PA. -AGENSI