Perjanjian nuklear 2015 berakhir secara rasmi - Utusan Malaysia

Perjanjian nuklear 2015 berakhir secara rasmi

LOJI tenaga nuklear Bushehr,Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Perjanjian antrabangsa yang bertujuan menghalang penyebaran senjata nuklear dan menjamin keselamatan dunia berakhir secara rasmi semalam, selepas Iran mengumumkan penamatan perjanjian yang dimeterai sedekad lalu.

Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar Iran memaklumkan negara itu tidak lagi terikat dengan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) 2015, perjanjian yang menyaksikan sekatan antarabangsa ditarik balik sebagai pertukaran kepada sekatan terhadap program nuklear Teheran.

“Mulai sekarang, semua ketetapan perjanjian 2015, termasuk sekatan terhadap program nuklear Iran serta mekanisme berkaitan, dianggap telah tamat,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Teheran menegaskan negara tersebut tetap komited terhadap diplomasi dan akan terus terbuka kepada sebarang usaha damai.

Perjanjian bersejarah yang ditandatangani di Vienna itu melibatkan Iran bersama China, Britain, Perancis, Jerman, Russia dan Amerika Syarikat (AS).

Ia diharap menjadi titik tolak berakhirnya kebuntuan diplomatik berlarutan serta membuka lembaran baharu hubungan antara Iran dan kuasa Barat namun, perjanjian itu mula goyah sejak Presiden AS ketika itu, Donald Trump, menarik negaranya keluar secara unilateral pada 2018 dan mengembalikan sekatan terhadap Teheran.

Langkah itu bukan sahaja mengecewakan sekutu Eropah Washington, malah menamatkan usaha diplomatik yang digerakkan oleh pentadbiran Barack Obama.

Sejak itu, Iran mempergiatkan semula program nuklearnya, manakala rundingan yang diterajui kuasa Eropah untuk menghidupkan semula perjanjian berkenaan gagal mencapai hasil dan serangan udara oleh Israel dan AS terhadap negara tersebut pada Jun lalu turut menenggelamkan harapan untuk menyambung semula perjanjian itu.

Selepas perang 12 hari itu, Parlimen Iran meluluskan rang undang-undang bagi menamatkan kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kenyataan bersama, menteri luar Britain, Perancis dan Jerman menegaskan mereka masih berhasrat mencari penyelesaian diplomatik baharu bagi memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas pula menegaskan sekatan tersebut tidak seharusnya menjadi penamat kepada diplomasi sambil menambah penyelesaian mampan terhadap isu nuklear Iran hanya boleh dicapai melalui rundingan.

Tiga kuasa Eropah itu juga minggu lalu mengumumkan rancangan untuk memulakan semula rundingan bagi mencari perjanjian yang komprehensif, berkekalan dan boleh disahkan namun, hubungan antara Iran dan Barat kekal tegang di mana Washington masih mengekalkan sekatan besar-besaran termasuk usaha memaksa negara lain menghentikan pembelian minyak Teheran.

Beberapa siri rundingan yang diusahakan oleh Oman pada tahun ini antara Teheran dan Washington juga tidak membuahkan hasil.

Negara-negara Barat dan Israel sejak sekian lama menuduh Iran cuba membangunkan senjata nuklear, dakwaan yang dinafikan oleh Teheran dengan menegaskan program nuklearnya bertujuan bagi kegunaan tenaga dan awam semata-mata.

Iran dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York sempena hari penamatan perjanjian itu lewat Sabtu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN