Perisik China guna iklan kerja palsu perdaya pegawai Britain serah maklumat sulit - Utusan Malaysia

Perisik China guna iklan kerja palsu perdaya pegawai Britain serah maklumat sulit

KEN MCCALLUM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Agensi risikan Britain, MI5, memberi amaran ejen perisik China kini menggunakan taktik baharu dengan mencipta iklan kerja palsu di internet bagi memperdaya pegawai kerajaan, anggota tentera dan ahli akademik supaya menyerahkan maklumat sulit negara.

Menurut MI5, ratusan ribu iklan pekerjaan mencurigakan telah muncul di pelbagai platform dalam talian, menawarkan gaji lumayan dan bayaran tinggi sebagai ganjaran bagi laporan yang kononnya memerlukan pandangan unik mengenai isu dasar luar, pertahanan dan maklumat dalaman kerajaan.

Agensi itu bimbang ramai rakyat Britain telah terperangkap dengan helah tersebut, yang dijalankan melalui syarikat perunding rekrut palsu yang dipercayai ditubuhkan oleh China.

Amaran itu dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Negara (NPSA), cabang keselamatan MI5 yang bertanggungjawab terhadap perlindungan maklumat kerajaan dan organisasi strategik.

NPSA berkata, perkhidmatan risikan asing kini setiap hari memuat naik iklan kerja palsu untuk mensasarkan pegawai kerajaan, ahli akademik, penyelidik di badan pemikir, kontraktor pertahanan swasta dan individu lain yang berpotensi mempunyai akses kepada maklumat sulit.

Ketua MI5, Ken McCallum, sebelum ini pernah mendedahkan sebanyak 20,000 pegawai dan individu berprofil tinggi telah menjadi sasaran pengintipan oleh ejen China melalui platform LinkedIn pada Oktober 2023.

Namun sejak itu, taktik Beijing dilaporkan semakin canggih dengan pembukaan laman pekerjaan palsu, agensi pengambilan tenaga kerja rekaan serta syarikat tiruan yang kelihatan sah di mata umum.

Dalam beberapa kes, individu ditawarkan sehingga £2,000 (RM11,349) bagi satu laporan mengenai isu strategik negara.

Dalam ucapan terbarunya pada Khamis lalu, Sir Ken turut mengingatkan rakyat Britain agar berhati-hati dengan tawaran kerja yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai terutama dalam bidang yang melibatkan dasar antarabangsa dan keselamatan negara.

Amaran rasmi NPSA menjelaskan maklumat kecil yang dimiliki seseorang boleh menjadi potongan penting dalam teka-teki besar apabila digabungkan dengan maklumat lain yang dikumpul oleh perisik asing.

Pegawai dan profesional yang mempunyai akses kepada data sensitif dinasihatkan berhati-hati terhadap iklan dengan tajuk kerja umum seperti geopolitik, hal ehwal antarabangsa dan risiko politik, atau menggunakan istilah menarik seperti pandangan unik dan isu hangat.

Menurut laporan itu lagi, bayaran kepada mangsa sering dilakukan melalui kaedah tidak konvensional termasuk mata wang kripto, bagi mengaburi jejak kewangan.

Dalam beberapa kes, mangsa yang terperangkap kemudiannya dipujuk untuk terbang ke negara bukan Barat, sebelum dipaksa menjalankan kegiatan pengintipan bagi pihak China.

MI5 menegaskan, langkah berjaga-jaga amat penting kerana kegiatan perisikan siber dan manusia oleh China semakin meningkat, sekali gus mengancam keselamatan negara serta kestabilan diplomatik Britain. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×