WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth mengarahkan semua kakitangan Pentagon untuk mendapatkan kebenaran rasmi sebelum berhubung dengan ahli Kongres.
Perkara itu disahkan oleh seorang pembantu Kongres dan memo dalaman jabatan berkenaan.
Dasar baharu yang pertama kali dilaporkan oleh portal Breaking Defense itu menandakan langkah terbaharu Pentagon dalam usaha mengawal aliran maklumat berkaitan angkatan tentera paling berkuasa di dunia.
Menurut memo bertarikh 15 Oktober, langkah ini digariskan sebagai sebahagian daripada usaha menyelaraskan komunikasi dan mesej jabatan apabila berurusan dengan Kongres.
“Jabatan Perang bergantung kepada kerjasama erat dengan Kongres untuk mencapai matlamat perundangan kami.
“Langkah ini memerlukan penyelarasan mesej bagi memastikan keseragaman dan sokongan terhadap keutamaan jabatan, termasuk memperkukuh keupayaan pertahanan, membina semula kekuatan tentera serta menghidupkan semula semangat juang,” menurut memo itu.
Presiden, Donald Trump daripada parti Republikan sebelum ini mengumumkan perubahan nama rasmi Jabatan Pertahanan kepada Jabatan Perang namun penukaran itu masih belum rasmi dan memerlukan kelulusan Kongres.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan berkata, memo itu merupakan langkah pragmatik untuk menilai semula proses dalaman jabatan dalam berkomunikasi dengan Kongres.
Ia tidak mengubah cara atau sumber maklumat yang diterima oleh Kongres.
Menurut seorang pembantu Kongres, beberapa penggubal undang-undang dalam jawatankuasa pengawasan Pentagon sudah dimaklumkan mengenai kewujudan memo tersebut.
Langkah kawalan maklumat ini dibuat hanya seminggu selepas puluhan wartawan pertahanan yang bertugas di Pentagon meninggalkan pejabat mereka dan menyerahkan semula pas media, berikutan sekatan baharu terhadap akses media mula berkuat kuasa.









