LONDON: Penggunaan arang batu di seluruh dunia mencatat paras tertinggi tahun lalu, sekali gus menjejaskan usaha global untuk mengekang pemanasan bumi walaupun pelbagai inisiatif peralihan tenaga bersih giat dijalankan.
Menurut laporan tahunan State of Climate Action, meskipun bahagian arang batu dalam penjanaan elektrik menurun disebabkan peningkatan tenaga boleh diperbaharui, permintaan tenaga yang meningkat secara keseluruhan menyebabkan jumlah penggunaan arang batu terus bertambah.
Laporan itu turut menggambarkan situasi suram terhadap peluang dunia untuk mengelak kesan buruk krisis iklim yang semakin ketara, apabila kebanyakan negara gagal mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang ditetapkan.
Walaupun kebanyakan kerajaan bersetuju mengurangkan penggunaan arang batu sejak 2021, namun beberapa negara masih meneruskan pergantungan terhadap bahan api paling mencemar itu.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, meraikan kejayaan negara itu melepasi pengeluaran satu bilion tan arang batu tahun ini manakala di Amerika Syarikat (AS) pula, Donald Trump menyatakan sokongan terhadap arang batu dan bahan api fosil lain.
Sebaliknya, China dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka mampu mengekang impak tersebut dengan meneruskan keutamaan terhadap tenaga hijau.
Laporan itu turut menyatakan berita baik apabila penjanaan tenaga boleh diperbaharui meningkat secara eksponen, dengan tenaga solar kini diiktiraf sebagai sumber tenaga berkembang paling pantas dalam sejarah namun begitu, kadar pertumbuhannya masih perlu digandakan bagi memastikan dunia mencapai pengurangan pelepasan yang diperlukan menjelang akhir dekad ini.
Pengarang bersama laporan itu, Sophie Boehm, berkata serangan terhadap tenaga bersih di AS menjadikan usaha mencapai matlamat Perjanjian Paris lebih mencabar, namun peralihan tenaga global kini lebih luas daripada pengaruh mana-mana negara tunggal.
“Momentum perubahan semakin kuat di pasaran dunia dan ekonomi sedang pesat membangun, di mana tenaga bersih telah terbukti sebagai pilihan paling murah dan stabil bagi menjamin pertumbuhan ekonomi serta keselamatan tenaga,” katanya.
Laporan berkenaan turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemerosotan ‘takungan karbon semula jadi’ seperti hutan, tanah gambut, kawasan paya dan lautan yang berfungsi menyerap karbon.









