Pengawal Kebangsaan dilatih tangani gangguan awam di seluruh AS tahun depan - Utusan Malaysia

Pengawal Kebangsaan dilatih tangani gangguan awam di seluruh AS tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) merancang melatih ratusan anggota di setiap negeri bagi membentuk pasukan tindak balas pantas yang ditugaskan menangani gangguan awam menjelang awal tahun depan.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha Presiden Donald Trump memperkukuh penggunaan tentera bagi menyokong agenda domestiknya, termasuk menghantar pasukan keselamatan ke bandar-bandar yang diterajui Demokrat seperti Los Angeles, Portland (Oregon) dan Washington.

Tindakan terbaharu ini menyusul selepas satu perintah eksekutif ditandatangani Trump pada Ogos lalu, yang mengarahkan setiap negeri menubuhkan pasukan Pengawal Kebangsaan yang boleh dikerahkan dengan segera bagi menangani gangguan awam serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurut dua pegawai kerajaan yang enggan dikenali, setiap negeri diwajibkan menyiapkan pasukan khas itu menjelang awal tahun hadapan, dengan kebanyakan negeri diminta menyediakan sekurang-kurangnya 500 anggota.

Akhbar The Guardian sebelum ini melaporkan butiran pelaksanaan tersebut berdasarkan memo Pengawal Kebangsaan bertarikh 8 Oktober.

Jurucakap Pentagon setakat Rabu belum memberikan sebarang maklum balas mengenai laporan berkenaan.

Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana pasukan baharu ini akan berbeza daripada pasukan tindak balas sedia ada yang turut mempunyai latihan khas menangani rusuhan awam.

Setiap negeri kini sudah mempunyai unit yang boleh dikerahkan dalam tempoh lapan jam dengan kekuatan awal 125 anggota, diikuti pasukan tambahan seramai 375 orang dalam masa 24 jam.

Dalam lawatannya ke Jepun awal minggu ini, Trump memberitahu anggota tentera beliau bersedia menghantar lebih daripada sekadar Pengawal Kebangsaan ke bandar-bandar yang menghadapi masalah keselamatan.

“Kita mempunyai beberapa bandar yang sedang bermasalah… dan kita akan menghantar Pengawal Kebangsaan. Jika itu tidak mencukupi, kita akan hantar lebih ramai kerana kita mahukan bandar-bandar yang selamat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN