ISLAMABAD: Menteri Luar Pakistan, Muhammad Ishaq Dar menegaskan pelan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menamatkan perang di Gaza tidak mencerminkan cadangan yang dikemukakan oleh negara-negara Arab dan Islam.
“Apa yang diumumkan Trump bukanlah dokumen yang kami serahkan. Terdapat beberapa perkara penting yang sepatutnya dimasukkan,” katanya pada sidang media semalam.
Dar menambah, Pakistan bersama tujuh lagi negara sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bersama mengenai cadangan asal tersebut dan kekal komited terhadap dokumen itu.
Menurut beliau, keutamaan segera dalam pelan asal adalah memastikan gencatan senjata, menghentikan pertumpahan darah, membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan serta menghentikan pemindahan paksa penduduk Gaza.
Bagaimanapun, menurut laporan Safa News Agency memetik sumber rapat dengan inisiatif AS, pelan 20 perkara yang diumumkan Trump berbeza ketara daripada draf asal yang dipersetujui pemimpin Arab dan Islam.
Perubahan tersebut didakwa berlaku selepas campur tangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dikatakan mengadakan pertemuan enam jam pada Ahad lalu bersama utusan Rumah Putih, Steve Witkoff, menantu Trump Jared Kushner dan pembantu rapatnya, Ron Dermer.
Sumber itu menjelaskan, Netanyahu telah mengubah beberapa ketetapan utama pelan berkenaan, termasuk syarat dan tempoh masa berhubung pengunduran tentera Israel dari Gaza. -AGENSI










