GAZA: Keputusan sama ada Hamas akan menerima pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masih menjadi tanda tanya pelbagai pihak.
Anggota Biro Politik Hamas, Mohammed Nazzal, memaklumkan kepada Al Jazeera Arabic pada Khamis kumpulannya giat membincangkan pelan damai yang dikemukakan Trump.
Menurut Nazzal, perbincangan itu dibuat dengan matlamat utama untuk menghentikan perang berterusan Israel terhadap Gaza.
Kumpulan pejuang Palestin itu sebelum ini menuntut beberapa pindaan dibuat terhadap pelan tersebut.
Wakil-wakil Arab dari Mesir, Qatar dan Turkiye juga mengadakan rundingan produktif bersama kepimpinan Hamas di Doha berhubung pelan yang diumumkan oleh Trump pada Isnin lalu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah menerima cadangan tersebut, manakala negara-negara Arab memuji usaha Washington ke arah perdamaian.
Menurut sumber, Hamas mahu mencadangkan pindaan yang bertujuan ‘melembutkan’ beberapa syarat tambahan yang dimasukkan oleh
Netanyahu pada saat akhir, khususnya mengenai pengunduran tentera Israel dari Gaza dan pelucutan senjata secara menyeluruh.
Pelan Trump mengandungi syarat Hamas membebaskan semua tebusan dalam masa 72 jam, melucutkan senjata sepenuhnya, dan tidak memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza selepas perang berakhir.
Sebagai persetujuan, perang akan ditamatkan, tentera Israel akan berundur secara berperingkat dan digantikan dengan pasukan antarabangsa.
Namun, masih belum jelas sama ada AS bersedia mempertimbangkan pindaan yang dicadangkan Hamas memandangkan utusan khas AS, Steve Witkoff, sebelum ini enggan berbuat demikian.
Hamas masih mendapat sokongan kuat daripada dua pemain utama iaitu Mesir dan Qatar yang kedua-duanya telah menyatakan kebimbangan terhadap perubahan yang dibenarkan oleh AS kepada Netanyahu menjelang pengumuman pelan tersebut.
HAMAS TIDAK SEPAKAT?
Menurut satu lagi sumber yang terlibat dalam rundingan, Hamas kini berdepan perpecahan dalaman berhubung pelan damai tersebut.
“Setakat ini terdapat dua pandangan dalam Hamas. Yang pertama mahu menerima pelan itu tanpa syarat, kerana keutamaan adalah untuk menamatkan perang, dengan syarat pelaksanaannya dijamin oleh pihak pengantara,” katanya.
Namun, kumpulan lain dalam Hamas menolak beberapa klausa utama, khususnya yang melibatkan pelucutan senjata dan pemindahan mana-mana rakyat Palestin dari Gaza.
“Mereka menyokong penerimaan bersyarat, dengan penjelasan tambahan yang mengambil kira tuntutan Hamas dan faksi-faksi penentang, agar pendudukan Gaza tidak diberi legitimasi manakala perjuangan bersenjata tidak dianggap sebagai jenayah,” ujarnya.
Sesetengah kumpulan pula menolak pelan tersebut secara terbuka, namun rundingan masih diteruskan dan perkembangan dijangka menjadi lebih jelas dalam masa terdekat.
Ketua de facto Hamas di Gaza, Izz al-Din Haddad, yang juga bekas komander Briged Gaza City, menegaskan beliau menolak pelan tersebut.
Haddad percaya pelan Trump direka untuk menamatkan Hamas sama ada kumpulan itu bersetuju atau tidak.
Oleh itu, beliau bersedia untuk terus berperang.
Seorang pegawai kanan Hamas pula memaklumkan kepada AP terdapat beberapa perkara dalam pelan tersebut yang tidak dapat diterima dan perlu dipinda, namun enggan mengulas lanjut.
Beliau turut menyatakan kebimbangan Hamas sudah disampaikan kepada Qatar dan Mesir.
BANYAK KELOMPONGAN
Qatar sebagai perantara penting dalam rundingan gencatan senjata terdahulu, berunding dengan AS mengenai kemungkinan pindaan terhadap beberapa bahagian dalam pelan tersebut.
Seorang diplomat Arab memaklumkan Mesir dan Qatar tidak berpuas hati dengan perubahan yang dibuat oleh AS atas desakan Netanyahu.
Dalam satu kenyataan dari Paris, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty menyifatkan terdapat banyak kelompongan dalam pelan tersebut, terutamanya berkaitan soal tadbir urus dan susunan keselamatan pasca perang.
Beliau menegaskan Mesir menyokong visi Trump untuk menamatkan perang tetapi menekankan pelan itu perlu diperhalusi dan diperjelas pelaksanaannya.
Abdelatty juga memberi amaran penolakan oleh Hamas boleh membawa kepada peningkatan konflik.
“Jika Hamas menolak, maka ia akan menjadi sangat sukar. Dan kita akan melihat lebih banyak eskalasi. Sebab itu kami berusaha keras untuk memastikan pelan ini boleh dilaksanakan dan mendapat persetujuan Hamas,” katanya.
Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani turut mengadakan panggilan telefon bersama Trump pada Rabu.
Sheikh Tamim mengulangi sokongan Qatar terhadap usaha damai dan menyatakan keyakinan negara-negara yang menyokong pelan tersebut boleh mencapai penyelesaian adil yang menjamin keselamatan serantau dan melindungi hak rakyat Palestin.










