ISLAMABAD: Ketegangan memuncak di sepanjang sempadan Pakistan-Afghanistan apabila kedua-dua negara saling mendakwa menyebabkan korban besar terhadap pihak lawan.
Tentera Pakistan mendakwa lebih 200 pejuang Afghanistan terbunuh, manakala kerajaan Taliban memaklumkan membunuh 58 anggota tentera negara jirannya itu.
Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid pada Ahad berkata, 30 lagi tentera Pakistan cedera dan sejumlah besar senjata milik negara itu turut dirampas pihak Afghanistan.
Mujahid menafikan laporan Pakistan dan mendakwa sembilan anggota Taliban terbunuh dalam operasi semalaman, manakala hampir sedozen yang lain cedera.
Sebaliknya, tentera Pakistan berkata, 23 anggota ‘anak lelaki berani’ mereka terkorban dalam pertempuran itu, dan pegawai mengesahkan sempadan dengan Afghanistan kini ditutup.
Permusuhan di sempadan tercetus selepas letupan pada Khamis di Afghanistan, yang dipersalahkan Taliban terhadap Pakistan, menandakan peningkatan ketegangan paling serius dalam beberapa bulan hubungan tegang.
Ini susulan dakwaan Islamabad terhadap Afghanistan menjadi tempat perlindungan kumpulan bersenjata yang melancarkan serangan di dalam Pakistan.
Kelmarin, Taliban mendakwa menawan tiga pos sempadan Pakistan dalam serangan balas di beberapa lokasi sepanjang sempadan di wilayah Kunar dan Helmand.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Enayatullah Khwarizmi, mengesahkan pada Sabtu pasukan Taliban melancarkan serangan balas yang berkesan terhadap tentera Pakistan, sebagai tindak balas kepada pelanggaran berulang kali serta serangan udara yang dilancarkan oleh negara jiran ke atas wilayahnya.
Media kerajaan Pakistan turut melaporkan pasukannya rampas 19 pos sempadan Afghanistan, dengan memetik sumber keselamatan yang mendakwa pejuang Taliban di pos tersebut terbunuh atau melarikan diri.
Radio Pakistan, memetik sumber keselamatan, melaporkan pasukan itu memusnahkan sepenuhnya markas batalion kem Manojba milik Taliban, Pos Jandusar, kem Turkmenzai serta Kubu Kharchar.
Pertempuran tersebut mengundang reaksi daripada Iran, Qatar serta Arab Saudi yang menyeru kedua-dua pihak bermusuh untuk terus kekal berhati-hati.