Muzium Louvre dibuka semula selepas dirompak, Macron arah langkah keselamatan diperketat - Utusan Malaysia

Muzium Louvre dibuka semula selepas dirompak, Macron arah langkah keselamatan diperketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Rabu mengarahkan langkah keselamatan diperketatkan di Muzium Louvre selepas muzium terkenal itu dibuka semula beberapa hari selepas kejadian rompakan mengejutkan tersebut.

Pembukaan semula itu berlaku beberapa jam sebelum pengarah muzium berkenaan dijadualkan tampil di hadapan ahli Senat bagi menjelaskan bagaimana perompak berjaya melarikan barang kemas dianggarkan bernilai €88 juta (RM431.7 juta) dari muzium tersohor dunia itu.

Insiden tersebut sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan di muzium-muzium Perancis, selepas dua institusi lain turut menjadi sasaran pencuri bulan lalu.

Dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, Macron mengarahkan supaya pelaksanaan langkah keselamatan di Louvre dipercepatkan, kata jurucakap kerajaan Maude Bregeon.

Puluhan penyiasat kini giat memburu suspek, dengan siasatan awal menjurus kepada teori bahawa rompakan itu dilakukan oleh kumpulan jenayah terancang yang memanjat tangga dari sebuah lori untuk menceroboh muzium, sebelum menjatuhkan satu mahkota bertatahkan berlian ketika melarikan diri.

“Siasatan sedang berjalan,” kata Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez kepada media tempatan pada Rabu, sambil menambah bahawa lebih 100 penyiasat telah digerakkan.

“Saya amat yakin bahawa kita akan berjaya menahan pelakunya,” katanya.

Antara lapan barang kemas yang dilarikan termasuk seutas rantai zamrud dan berlian yang pernah dihadiahkan Napoleon I kepada isterinya, Permaisuri Marie-Louise, serta sebuah diadem milik Permaisuri Eugenie yang dihiasi hampir 2,000 butir berlian.

Peguam Negara Paris, Laure Beccuau, menyifatkan kerugian kewangan itu sebagai amat besar namun menegaskan bahawa kerosakan sebenar ialah kehilangan sebahagian daripada warisan sejarah Perancis.

Muzium Louvre merupakan muzium paling banyak dikunjungi di dunia dan terkenal dengan karya ikonik Mona Lisa serta menerima kira-kira sembilan juta pelawat tahun lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN