KAHERAH: Beberapa syarikat pembinaan Mesir kini berusaha mendapatkan peranan utama dalam projek membangunkan semula Semenanjung Gaza susulan perjanjian damai yang diumumkan baru-baru ini.
Syarikat-syarikat berkenaan menyatakan kesediaan untuk menyertai usaha pemulihan itu, menegaskan mereka mempunyai lebihan besar bahan binaan dan kapasiti pengeluaran dalam pasaran domestik Mesir.
Perkembangan ini berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tamatnya perang Gaza hasil pengantaraan Mesir dan negara-negara Arab.
Sidang kemuncak damai yang berlangsung di Sharm el-Sheikh, dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Trump, dengan penyertaan beberapa pemimpin dunia bagi memupuk kestabilan di Asia Barat dan menyokong usaha pembinaan semula Gaza.
Selepas perjanjian ditandatangani, rundingan dijangka bermula mengenai keutamaan pembinaan semula dan mekanisme pembiayaan, memandangkan kemusnahan besar terhadap bangunan serta infrastruktur di wilayah itu sepanjang dua tahun konflik.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekitar 83 peratus bangunan di Gaza City rosak, termasuk lebih 17,700 lagi yang musnah sepenuhnya.
Pakar dan institusi antarabangsa menganggarkan kos keseluruhan pembinaan semula Gaza boleh mencecah AS$70 bilion (RM295 bilion) dan mengambil masa sehingga 40 tahun untuk disiapkan.
Persaingan global untuk mendapatkan kontrak pembinaan semula turut bermula, dengan firma utama dari Turkiye, Amerika Syarikat (AS), Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Britain dan Mesir antara yang menyertainya.
Akhbar The Times melaporkan syarikat dari Turkiye dan AS adalah antara pihak terawal mengemukakan cadangan untuk terlibat dalam proses pembinaan semula tersebut.
Sementara itu, negara-negara Eropah, Arab, Kanada serta Amerika Syarikat (AS) turut bersedia menyumbang dana yang diperlukan untuk membina semula Gaza.
Pegawai Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Jaco Cilliers berkata, perang yang berlarutan selama dua tahun itu menyebabkan sisa runtuhan bersamaan 13 kali ganda saiz Piramid Giza.
Katanya, perang Israel terhadap Hamas menjana sekurang-kurangnya 55 juta tan sisa runtuhan dan Gaza mungkin mengambil masa berdekad-dekad untuk pulih sepenuhnya.
“Kami mendengar berita yang sangat positif daripada beberapa rakan kongsi kami termasuk rakan kongsi Eropah, Kanada mengenai kesediaan mereka untuk membantu,” katanya pada satu sidang akhbar sambil menambah perbincangan turut diadakan dengan AS.
UNDP berkata, pihaknya sudah membersihkan kira-kira 81,000 tan sisa runtuhan dari Gaza dan usaha itu masih diteruskan.