Mesir, Qatar dan Turkiye pujuk Hamas terima pelan damai Trump - Utusan Malaysia

Mesir, Qatar dan Turkiye pujuk Hamas terima pelan damai Trump

PLAKAD tertulis 'hentikan keganasan Israel' diletakkan di pagar sempadan Israel-Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty memberi amaran keras konflik di Gaza berisiko memasuki fasa yang lebih meruncing jika Hamas terus menolak pelan damai yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau mengesahkan Mesir kini bekerjasama rapat dengan Qatar dan Turkiye dalam usaha memujuk kumpulan itu menerima cadangan penyelesaian perang berdarah yang sudah menjangkau hampir dua tahun.

Berucap di Institut Hubungan Antarabangsa Perancis di Paris, Abdelatty menegaskan Hamas perlu melucutkan senjata sebagai syarat utama untuk memastikan gencatan senjata dapat dicapai dan penderitaan rakyat Palestin dihentikan segera.

Beliau turut menyelar tindakan ketenteraan Israel yang disifatkan melampaui batas kemanusiaan.

Menurut data pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 66,000 nyawa terkorban dalam serangan balas Israel sejak itu, majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak. Abdelatty menyifatkan situasi tersebut sebagai “genosid secara terbuka” dan “pembersihan etnik yang sistematik.”

Pelan damai yang dicadangkan oleh Trump mengandungi 20 perkara utama, termasuk gencatan senjata serta-merta, pertukaran tebusan, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas, serta pembentukan kerajaan peralihan yang dipimpin oleh badan antarabangsa.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan Hamas menerima pelan ini. Jika mereka menolak, maka kita perlu bersedia untuk berdepan dengan peningkatan konflik yang lebih buruk,” tegas Abdelatty.

Namun begitu, beliau turut mengakui pelan itu masih mempunyai kelemahan yang perlu diperhalusi, khususnya dalam isu tadbir urus dan keselamatan pasca-konflik.

“Masih banyak ruang yang perlu diisi. Perbincangan lanjut sangat diperlukan agar pelan ini tidak hanya menjadi dokumen di atas kertas,” katanya.

Abdelatty secara terbuka menyokong visi Trump untuk menamatkan perang, tetapi dengan syarat tidak berlaku pengusiran penduduk Palestin secara paksa.

“Pemindahan paksa adalah garis merah. Ia tidak akan berlaku. Kami tidak akan membenarkannya dalam apa jua keadaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN