KAHERAH: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkanpembukaan semula lintasan Rafah iaitu satu-satunya pintu masuk utama Gaza ke Mesir akan terus ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, sambil mengaitkan isu itu dengan keengganan Hamas menyerahkan mayat baki tebusan Israel.
Kenyataan Netanyahu itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas Kedutaan Palestin di Kaherah mengumumkan lintasan Rafah akan dibuka semula pada Isnin untuk membolehkan kemasukan bantuan dan individu ke Gaza.
Namun, Hamas kemudiannya memaklumkan mereka akan menyerahkan dua lagi mayat pada pukul 10 malam waktu tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan 12 mayat tebusan Israel yang sudah dikembalikan setakat ini.
Israel menuduh Hamas sengaja melengah-lengahkan proses pemulangan mayat sebagai taktik tekanan dalam rundingan.
Sebaliknya, Hamas menjelaskan kemusnahan besar-besaran di Gaza menyukarkan pencarian mayat dan memerlukan masa serta peralatan khas.
Menurut pegawai Israel, setiap satu mayat tebusan Israel yang dikembalikan akan disusuli dengan pemulangan 15 mayat pejuang Palestin sebagai sebahagian daripada pertukaran yang dipersetujui.
Lintasan Rafah telah ditutup hampir sepenuhnya sejak Mei 2024, menyebabkan ribuan penduduk Gaza terperangkap dan tidak dapat meninggalkan wilayah yang dilanda perang itu.
Walaupun perjanjian gencatan senjata turut merangkumi peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan, Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan bahawa hanya 560 tan metrik makanan berjaya disalurkan setiap hari masih jauh daripada jumlah diperlukan untuk memenuhi keperluan penduduk.
Terdahulu, Israel memutuskan semua bekalan ke Gaza selama 11 minggu bermula Mac 2025, sebelum membuka semula laluan bantuan secara berperingkat pada Julai.
Perkembangan terbaharu ini membayangkan rapuhnya pelan damai 20 perkara yang dicetuskan oleh Presiden AS, Donald Trump, untuk menamatkan perang yang tercetus sejak Oktober 2023.
Walaupun fasa pertama perjanjian menyaksikan Hamas membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup sebagai pertukaran kepada pembebasan hampir 2,000 tahanan Palestin, beberapa isu besar masih membelenggu pelan damai itu.
Antaranya ialah keperluan melucutkan senjata Hamas, persoalan mengenai siapa yang akan mentadbir Gaza, penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa, dan hala tuju ke arah penubuhan negara Palestin.
Kenyataan Netanyahu mencerminkan ketidakpercayaan mendalam antara kedua-dua pihak, sekaligus meletakkan cabaran besar kepada usahawan damai antarabangsa untuk memastikan gencatan senjata dapat dikekalkan dan proses perdamaian terus bergerak ke hadapan.