Lima suspek baharu ditahan kes curi permata mahkota di Louvre - Utusan Malaysia

Lima suspek baharu ditahan kes curi permata mahkota di Louvre

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Polis Perancis menahan lima lagi suspek berhubung kes kecurian permata mahkota Perancis dari Muzium Louvre, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini kepada tujuh orang.

Menurut Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, seorang daripada lima suspek tersebut dipercayai merupakan ahli kumpulan empat lelaki yang terlibat secara langsung dalam rompakan berprofil tinggi itu.

Dengan penahanan terbaharu itu, pihak berkuasa kini menahan tiga daripada empat lelaki yang dipercayai menyamar sebagai pekerja pembinaan ketika melarikan artifak bersejarah dari era Napoleon, selepas operasi memburu selama 11 hari dijalankan.

Beccuau memaklumkan sehingga kini, pihak penyiasat masih gagal menemui semula harta yang dicuri, yang dianggarkan bernilai lebih AS$100 juta (RM419 juta).

Penahanan lima suspek baharu itu dilakukan malam Rabu di sekitar Paris, termasuk di kawasan Seine-Saint-Denis.

Dua suspek pertama ditahan hujung minggu lalu, salah seorang daripadanya dipercayai cuba melarikan diri ke Algeria melalui Lapangan Terbang Charles de Gaulle dan kedua-dua mereka telah disiasat secara rasmi atas kesalahan mencuri secara terancang serta berkomplot melakukan jenayah.

Menurut Beccuau, hasil siasatan selama 96 jam mendapati mereka mengaku terlibat dalam rompakan tersebut.

Suspek pertama, berusia 34 tahun dan berwarganegara Algeria, mempunyai rekod kesalahan lalu lintas serta dikenal pasti melalui DNA yang ditemui pada salah satu skuter digunakan semasa rompakan.

Suspek kedua, 39 tahun, merupakan pemandu teksi haram dan penghantar barang yang berasal dari Aubervilliers, pinggir bandar Paris serta pernah dikenali polis kerana kes kecurian berketerlaluan dan DNA miliknya ditemui pada serpihan kaca daripada bekas pameran yang dipecahkan.

Setakat ini, polis belum mengeluarkan sebarang maklumat lanjut mengenai lima suspek baharu yang ditahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN