NEW YORK: Lebih 150 penulis yang pernah menyumbang artikel kepada akhbar terkemuka Amerika Syarikat (AS), The New York Times memboikot ruangan pendapat akhbar itu.
Kumpulan penulis tersebut membuat keputusan itu selepas mendakwa laporan NYT cenderung menyebelahi naratif Israel dalam liputannya mengenai perang di Gaza.
Dalam surat terbuka yang dikeluarkan bersama, para penulis menuntut agar pihak pengurusan NYT menjalankan semakan terhadap sikap anti-Palestin dalam liputan mereka serta menggubal piawaian editorial baharu berkaitan isu Palestin.
Mereka turut mendesak lembaga editorial akhbar itu agar menyeru kerajaan AS mengenakan sekatan senjata terhadap Israel.
“Sehingga The New York Times mengambil tanggungjawab atas liputannya yang berat sebelah dan komited untuk melaporkan perang AS-Israel di Gaza secara benar dan beretika, sebarang sumbangan penulisan hanya akan memberi ruang kepada amalan kewartawanan yang menyeleweng,” tegas surat tersebut.
“Hanya dengan menahan sumbangan tenaga dan karya kami, barulah kami dapat mencabar autoriti hegemonik yang digunakan NYT selama ini untuk ‘membersihkan’ pembohongan Amerika Syarikat dan Israel,” katanya.
Antara tokoh terkenal yang menandatangani surat itu termasuk aktivis dan penulis Rima Hassan, Chelsea Manning, Rashida Tlaib, Sally Rooney, Elia Suleiman, Greta Thunberg, Viet Thanh Nguyen dan Dave Zirin.
Para penulis itu menegaskan tindakan mereka merupakan bentuk solidariti terhadap wartawan dan penulis Palestin yang berdepan penindasan.
“Kami berhutang kepada wartawan dan penulis Palestin untuk tidak menjadi sebahagian daripada keterlibatan dengan The New York Times serta menuntut agar akhbar itu bertanggungjawab atas kegagalannya supaya ia tidak lagi digunakan untuk menghalalkan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan dan pengusiran,” ujar mereka.










