ISLAMABAD: Lintasan sempadan utama antara Pakistan dan Afghanistan ditutup selepas pertempuran sengit tercetus sepanjang malam berikutan serangan kumpulan Taliban terhadap beberapa pos tentera Islamabad, menurut pegawai keselamatan dari kedua-dua negara.
Ketegangan terbaharu ini berlaku hanya beberapa hari selepas serangan udara Pakistan di Kabul awal minggu ini.
Menurut pegawai kanan Taliban dari beberapa wilayah, pasukan mereka melancarkan serangan bersenjata sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan udara Pakistan di wilayah Afghanistan dan mendakwa menawan dua pos sempadan Pakistan di wilayah Helmand.
Pegawai keselamatan Pakistan mengakui berlaku pertempuran di beberapa kawasan sempadan, namun menegaskan pasukan mereka bertindak balas dengan kekuatan penuh.
“Sejak malam Sabtu, pasukan Taliban mula melepaskan tembakan di beberapa titik sempadan. Kami membalas dengan artileri di empat lokasi. Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk pencerobohan daripada Taliban Afghanistan di dalam wilayah kami.
“Pasukan Pakistan bertindak balas dengan tembakan berat dan berjaya menyasarkan beberapa pos sempadan milik Afghanistan,” kata seorang pegawai kerajaan Pakistan kepada The Guardian.
Tentera Pakistan dilaporkan menggunakan artileri, kereta kebal, serta senjata ringan dan berat dalam serangan balas tersebut.
Pegawai dari kedua-dua pihak sempadan memaklumkan lintasan di Torkham, yang menghubungkan wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan dengan Nangarhar di Afghanistan, serta di Chaman, lebih 800 kilometer ke barat daya sudah ditutup.
“Lintasan sempadan Torkham ditutup sepenuhnya untuk pergerakan pejalan kaki dan aktiviti perdagangan. Pasukan keselamatan juga sudah menarik keluar semua kakitangan awam yang bertugas di sempadan bagi mengelakkan mereka tercedera sekiranya berlaku tembakan susulan,” kata seorang lagi pegawai kanan Pakistan.
Pada Khamis lalu, dua letupan dilaporkan berlaku di Kabul dan satu lagi di tenggara Afghanistan. Susulan itu, Kementerian Pertahanan yang dikendalikan Taliban menuduh Pakistan melanggar kedaulatan negaranya.
Penganalisis keselamatan menilai ketegangan di sempadan kini semakin meruncing.
Menurut penganalisis Asia Selatan yang berpangkalan di Washington, Michael Kugelman, serangan rentas sempadan terhadap pasukan Pakistan yang semakin meningkat, disusuli dengan serangan udara luar biasa oleh Pakistan di Afghanistan dan tindakan balas Taliban mampu mencipta keadaan yang amat berisiko.
“Tambahan pula, isu Afghanistan tidak mengiktiraf sempadan itu serta penularan maklumat palsu menjadikan situasi ini semakin rumit,” jelasnya.
Islamabad dalam kenyataannya tidak mengesahkan mahupun menafikan penglibatan dalam serangan udara tersebut, namun mendesak kerajaan Kabul agar menghentikan perlindungan terhadap kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP).
Kumpulan TTP dipercayai mempunyai hubungan ideologi dengan Taliban Afghanistan, melancarkan siri serangan yang mengorbankan ratusan anggota tentera Pakistan sejak 2021 dan dilaporkan menerima latihan ketenteraan di wilayah Afghanistan.










