WASHINGTON: Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi ditutup selepas Kongres gagal meluluskan langkah pembiayaan untuk mengekalkan operasi dengan apa yang bakal berlaku di dalam Capitol masih menjadi tanda tanya.
Penutupan selepas tengah malam Rabu itu berlaku apabila ahli-ahli Parlimen dan Presiden, Donald Trump gagal mencapai kata sepakat mengenai bajet, selepas rundingan tegang yang tertumpu pada tuntutan Demokrat untuk peruntukan kesihatan.
Ini merupakan penutupan pertama sejak hampir tujuh tahun lalu, menghentikan operasi di pelbagai jabatan serta agensi persekutuan, menjejaskan ratusan ribu kakitangan kerajaan.
Trump menyalahkan Demokrat atas rundingan yang gagal dan mengugut untuk menghukum parti itu serta penyokongnya sepanjang penutupan dengan menyasarkan keutamaan progresif selain memaksa pemotongan besar-besaran pekerjaan sektor awam.
Ketika ini, belum jelas berapa lama penutupan ini akan berlarutan.
Sejak 1976, apabila Kongres meluluskan proses bajet moden, kerajaan persekutuan ditutup sebanyak 21 kali.
Sebahagian penutupan hanya berlangsung beberapa jam, tidak cukup lama untuk menjejaskan operasi kerajaan.-AFP










