TOKYO: Menteri Alam Sekitar Jepun yang baharu dilantik berikrar untuk memperkenalkan langkah lebih tegas susulan peningkatan kes serangan beruang yang mengakibatkan sembilan kematian tahun ini sekaligus merekodkan angka tertinggi pernah direkodkan di negara itu.
Kejadian serangan beruang semakin meningkat apabila haiwan liar itu menceroboh masuk ke kawasan penempatan manusia, terutamanya di bandar-bandar kecil yang dihuni penduduk semakin tua dan berkurangan.
Menteri Alam Sekitar, Hirotaka Ishihara menyifatkan situasi tersebut sebagai masalah besar dan cukup serius.
“Kami komited untuk memperkukuh pelbagai langkah, termasuk melatih serta menambah bilangan pemburu rasmi kerajaan dan mengurus populasi beruang dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media, pada Rabu.
Ishihara dilantik ke jawatannya pada Selasa selepas Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi membentuk kabinet pertama pemerintahannya.
Jumlah kematian akibat serangan beruang tahun ini jauh mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu lima kematian dalam tahun fiskal 2023-2024.
Antara mangsa terbaru ialah seorang lelaki berusia 70-an yang ditemukan maut pada 10 Oktober di kawasan pergunungan di wilayah Iwate, ketika sedang memetik cendawan.
Seorang lagi penduduk wilayah sama turut ditemui mati minggu lalu di hutan berhampiran pusat pemandian air panas tempat dia bekerja.
Di Fukushima, sepasang suami isteri berusia 80-an cedera pada muka dan leher selepas diserang seekor beruang di luar rumah mereka pada Rabu, lapor media tempatan.
Beruang juga dilaporkan menyerang pelancong, memasuki kedai serta muncul berhampiran sekolah dan taman, khususnya di wilayah utara negara itu.
Jepun mempunyai dua spesies beruang utama iaitu beruang hitam Asia atau moon bear, serta beruang coklat yang lebih besar dan banyak terdapat di pulau utara Hokkaido.
Setiap tahun, ribuan beruang ditembak bagi tujuan kawalan, namun bilangan pemburu di Jepun semakin berkurangan sejajar dengan penuaan penduduk negara itu. -AGENSI










