'Jika Afghanistan cabuli gencatan, Pakistan sedia berperang' - Utusan Malaysia

‘Jika Afghanistan cabuli gencatan, Pakistan sedia berperang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Rundingan antara Pakistan dan Afghanistan yang berlangsung di Istanbul bertujuan memastikan perjanjian gencatan senjata dimeterai baru-baru ini dapat bertahan.

Menteri Pertahanan Pakistan memberi amaran tentang kemungkinan tercetusnya ‘perang terbuka’ jika usaha itu gagal.

Pertemuan yang bermula pada hari Sabtu lalu dan dijangka berterusan sehingga Ahad ini, diadakan beberapa hari selepas gencatan senjata ditaja oleh Qatar dan Turkiye di Doha bagi menamatkan pertempuran berdarah antara kedua-dua negara jiran.

Keganasan merentasi sempadan itu meragut puluhan nyawa dan mencederakan ratusan yang lain.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, memberi amaran keras pada Sabtu yang Pakistan berhak berperang jika tiada perjanjian tercapai.

Walau bagaimanapun, beliau juga menyatakan Pakistan sentiasa melihat kesediaan Afghanistan untuk berdamai.

Rundingan yang dijalankan di Turkiye itu dijangka membuka jalan kepada penyelesaian kekal antara kedua-dua negara yang telah lama bergelut dengan ketegangan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Haji Najib, mengetuai delegasi Afghanistan, sementara Pakistan belum mendedahkan nama-nama wakil mereka dalam perbincangan ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, jurucakap Kementerian Luar Pakistan menyatakan rundingan tersebut perlu menangani ancaman keganasan yang berpunca dari Afghanistan.

Pakistan menuduh Afghanistan memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas seperti Taliban Pakistan (TTP), manakala Kabul menafikan dakwaan tersebut dan menyalahkan Pakistan atas pelanggaran kedaulatan mereka melalui serangan ketenteraan.

Penutupan sempadan utama antara Pakistan dan Afghanistan akibat pertempuran yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan kerugian besar kepada peniaga, dengan Dewan Perniagaan dan Industri Afghanistan menganggarkan bahawa jutaan dolar hilang setiap hari akibat penutupan tersebut.

Selain itu, isu perkongsian maklumat perisikan mengenai kumpulan bersenjata dijangka menjadi satu daripada  topik utama dalam rundingan di Istanbul.

Pakistan dilaporkan akan memberikan koordinat lokasi yang disyaki terdapat pejuang TTP, dan Afghanistan diharapkan untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Setakat ini, gencatan senjata yang diumumkan di Doha pada Ahad lalu masih berterusan tanpa sebarang insiden besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN