ROM: Itali mengumumkan akan menghentikan operasi menjejaki flotila antarabangsa yang membawa bantuan ke Gaza dengan kapal tenteranya, sekali gus mendedahkan para aktivis kepada sebarang kemungkinan serangan oleh Tentera Israel.
Flotila yang dinamakan Global Sumud Flotilla (GSF) itu terdiri daripada lebih 47 bot awam dengan lebih 500 orang peserta termasuk ahli parlimen, peguam serta aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg.
Konvoi tersebut bertekad untuk memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin berkenaan.
Menurut Kementerian Pertahanan Itali, kapal frigat yang mengiringi flotila itu akan berhenti sebaik sahaja konvoi berada dalam jarak 278 kilometer dari pantai Gaza.
Kerajaan Itali sebelum ini mencadangkan supaya bantuan itu dihantar melalui pelabuhan Cyprus bagi mengelakkan konfrontasi dengan tentera Israel namun, tawaran tersebut ditolak berkali-kali oleh wakil flotila.
“Kami tegaskan sekali lagi, flotila akan terus berlayar.
“Tentera laut Itali tidak akan menjejaskan misi ini. Tuntutan kemanusiaan untuk memecah sekatan tidak boleh berpatah balik ke pelabuhan,” tegas kenyataan Global Sumud Flotilla dipetik Reuters.
Minggu lalu, Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut masing-masing untuk membantu flotila selepas ia diserang dron bersenjata bom tangan kejutan dan gas pemedih mata di perairan antarabangsa berhampiran Greece namun kedua-dua negara menegaskan tidak akan terlibat dalam pertembungan ketenteraan.
Israel tidak mengulas tuduhan ia bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, namun menegaskan akan menggunakan apa sahaja cara bagi menghalang flotila daripada memasuki Gaza.
Jurucakap flotila dari Itali, Maria Elena Delia berkata, para aktivis kini bersedia menghadapi serangan baharu pada bila-bila masa.
“Israel mungkin menyerang kami malam ini, kerana semua tanda menunjukkan perkara itu akan berlaku,” katanya menerusi satu rakaman video di Instagram.
Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto berkata beliau menjangkakan bot flotila akan dipintas di laut terbuka dan aktivis akan ditahan.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menggesa armada itu berhenti, dengan mengatakan bahawa misi bantuan itu boleh menjejaskan harapan untuk keamanan berdasarkan Pelan Damai 20 perkara oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Israel melancarkan serangan ke atas Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang serta 251 ditawan sebagai tebusan, menurut angka rasmi Israel.
Sejak itu, lebih 66,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.









