GAZA: Tentera Israel terus melancarkan puluhan serangan udara dan tembakan artileri terhadap Gaza City dan kawasan sekitarnya, meskipun terdapat gesaan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump agar pengeboman dihentikan susulan persetujuan pelan damai oleh Hamas.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, sekurang-kurangnya tujuh nyawa terkorban sejak awal pagi tadi, manakala 20 buah rumah musnah dalam serangan ganas yang berlaku semalaman.
“Ini adalah malam yang sangat dahsyat. Tentera Israel melancarkan puluhan serangan udara dan tembakan artileri ke atas Gaza City dan beberapa kawasan lain di seluruh Semenanjung Gaza, walaupun terdapat seruan daripada Presiden Trump untuk menghentikan pengeboman,” kata jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal kepada agensi berita AFP.
Hospital Baptist Gaza mengesahkan menerima beberapa mangsa dalam satu serangan terhadap sebuah kediaman di kawasan kejiranan Tuffah, termasuk empat mangsa yang disahkan maut dan beberapa lagi cedera.
Sementara itu, Hospital Nasser di Khan Younis memaklumkan dua kanak-kanak terkorban, manakala lapan lagi cedera apabila sebuah dron tentera Israel menyerang khemah pelarian yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan.
Serangan terbaharu ini berlaku hanya beberapa jam selepas Hamas bersetuju dengan cadangan gencatan senjata, mencetuskan harapan baharu untuk menghentikan pertumpahan darah yang telah meragut puluhan ribu nyawa sejak konflik meletus semula.
Pemerhati antarabangsa menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan berterusan Israel yang dianggap mengingkari usaha diplomatik dan berpotensi memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza, terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak yang kini berlindung di kawasan pelarian.










