Israel larang bantuan ke Gaza masuk melalui Rafah - Utusan Malaysia

Israel larang bantuan ke Gaza masuk melalui Rafah

SEJUMLAH trak bantuan beratur menunggu giliran untuk masuk ke Gaza melalui lintasan Rafah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Israel memaklumkan tiada sebarang bantuan kemanusiaan akan dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan Rafah yang bersempadan dengan Mesir.

Sebaliknya, kesemua bantuan akan dibawa masuk ke wilayah itu menggunakan laluan lain termasuk Kerem Shalom.

Terdahulu, Israel mengarahkan supaya lintasan Rafah ditutup sekali gus menyebabkan bantuan tidak dapat dihantar ke Gaza susulan ‘konflik penyerahan mayat tebusan’ dengan Hamas.

Namun, kerajaan negara haram itu didesak pelbagai pihak supaya menyegerakan saluran bantuan.

HAMAS TIDAK CABUL GENCATAN

Amerika Syarikat (AS) menyatakan Hamas tidak melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Israel dan memaklumkan kelewatan dalam proses pemulangan mayat tebusan dari Gaza sudah dijangka melihatkan keadaan di lapangan yang amat sukar.

Perkara itu dimaklumkan seorang penasihat kanan kepada Presiden AS, Donald Trump dalam satu taklimat kepada wartawan semalam.

“Kami dengar ramai yang kata Hamas langgar perjanjian kerana semua mayat belum dipulangkan. Tetapi pemahaman kami ialah, mereka perlu bebaskan semua tebusan yang masih hidup terlebih dahulu dan itu sudah mereka tunaikan.

“Sekarang kami mempunyai mekanisme di mana kami bekerjasama rapat dengan pihak pengantara untuk berusaha mendapatkan semula sebanyak mungkin mayat.

“Kami terus menyalurkan maklumat risikan yang diperoleh Israel tentang lokasi mayat kepada pengantara dan kami akan terus bekerja secara jujur sehingga proses itu selesai,” katanya yang enggan didedahkan identitinya.

SATU daripada kawasan di daerah al-Maqussi di Gaza City musnah sepenuhnya akibat bedilan udara tentera Israel sebelum ini. – AFP

Seorang lagi penasihat kanan Trump yang turut hadir dalam taklimat tersebut juga menegaskan Hamas melakukan perkara yang betul apabila mereka menyerahkan semua 20 tebusan yang masih hidup secara serentak dan ia merupakan satu detik penting.

Katanya, usaha mencari mayat hanya dapat dimulakan selepas gencatan senjata dikuatkuasakan minggu lalu memandangkan Gaza sebelum ini merupakan zon perang aktif.

Pegawai itu mendakwa, jumlah runtuhan di Gaza jauh lebih dahsyat daripada yang ditinggalkan selepas serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001.

Hamas menyerahkan empat mayat masing-masing pada Isnin dan Selasa, namun satunya daripadanya kemudian dikenal pasti sebagai rakyat Palestin, manakala hanya dua mayat diserahkan pada Rabu.

“Kami mungkin akan melancarkan satu program untuk meminta penduduk Gaza membantu kami mengenal pasti lokasi mayat, dan kami akan memberi ganjaran bagi kerjasama seperti itu,” dedah penasihat kedua Trump itu.

Beliau berkata, AS suda berhubung dengan Turkiye, yang bersedia menghantar pakar bagi membantu kerja-kerja mencari mayat, berbekalkan pengalaman dalam operasi gempa bumi d negara itu.

Namun, tidak jelas sama ada Israel akan menerima bantuan itu memandangkan hubungan dingin antara Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan yang pernah menyamakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan Hitler.

“Sentimen di Israel sentiasa begitu, mereka fikir Hamas boleh melakukan lebih lagi. Apa yang kami beritahu pihak Israel ialah, berikan kami segala maklumat risikan yang mereka ada.

“Jika mereka rasa ada sesuatu yang pihak pengantara atau Hamas boleh atau patut lakukan tetapi tidak dilakukan, serahkan maklumat itu kepada kami dan kami akan sampaikan,” kata penasihat pertama Trump itu.

BENARKAN ISRAEL SAMBUNG PERANG

Trump berkata, beliau akan mempertimbangkan membenarkan Netanyahu menyambung semula tindakan ketenteraan di Gaza sekiranya Hamas gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata.

Dalam wawancara ringkas melalui telefon dengan CNN pada Rabu, Trump berkata, tentera Israel boleh kembali ke jalanan sebaik sahaja menerima arahan dari beliau.

“Apa yang sedang berlaku dengan Hamas, perkara itu akan diselesaikan dengan cepat,” katanya.

JENTOLAK dikendalikan Majlis Perbandaran Gaza membersihkan runtuhan bangunan dari jalan utama dan laluan di Gaza City.-AFP

Kenyataan Trump dibuat ketika Israel memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza mungkin dikurangkan atau ditangguhkan susulan jumlah mayat tebusan yang diserahkan masih kecil.

Namun, gencatan senjata yang rapuh itu masih kekal setakat ini.

Menurut perkara keempat pelan damai 20 perkara Trump, dalam tempoh 72 jam selepas Israel secara terbuka menerima perjanjian ini, semua tebusan hidup dan mati mesti dikembalikan.

Trump menegaskan pembebasan tebusan yang masih hidup merupakan keutamaan.

Beliau turut memaklumkan giat memantau pertempuran ganas berlaku antara Hamas dan kumpulan pesaingnya, termasuk satu insiden berakhir dengan hukuman mati secara terbuka.

Trump mengakui optimis dengan prospek jangka panjang keamanan di rantau tersebut, sambil menekankan sokongan kuat negara-negara serantau terhadap perjanjian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN