GAZA CITY: Pihak berkuasa di Gaza mendakwa tentera Israel mencuri organ daripada jenazah rakyat Palestin yang dibunuh, dan menggesa pembentukan jawatankuasa siasatan antarabangsa bagi menyiasat jenayah yang disifatkan sebagai amat mengerikan.
Menurut laporan agensi berita Anadolu, Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Thawabta, berkata rejim tersebut telah menyerahkan sebanyak 120 jenazah kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam tempoh tiga hari lalu, namun kebanyakan mayat diterima dalam keadaan amat menyayat hati.
“Sebahagian besar jenazah menunjukkan bukti pembunuhan di lapangan dan penyeksaan sistematik,” katanya sambil menambah ada mayat yang dikembalikan dengan mata ditutup serta tangan dan kaki terikat.
“Ada juga jenazah yang mempunyai kesan jerutan di leher dan tanda-tanda dicekik menggunakan tali, jelas menunjukkan pembunuhan disengajakan,” ujarnya.
Thawabta turut mendedahkan banyak mayat kehilangan anggota badan tertentu, termasuk mata, kornea dan beberapa organ dalaman lain, bukti yang menurutnya mengesahkan tentera Israel telah mencuri organ manusia daripada tubuh mangsa.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah biadab dan melampaui batas kemanusiaan.
Sehubungan itu, beliau mendesak masyarakat antarabangsa serta pertubuhan hak asasi manusia segera menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas bagi memastikan rejim Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran serius terhadap jasad para syuhada Palestin serta kecurian organ mereka.
Tentera Israel setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap tuduhan tersebut.
Menurut Palestinian National Campaign for the Retrieval of Martyrs’ Bodies, Israel kini masih menahan jasad 735 rakyat Palestin, termasuk 67 kanak-kanak.
Akhbar Haaretz pula melaporkan hampir 1,500 mayat rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza kini disimpan di pangkalan tentera Sde Teiman di Gurun Negev, selatan Israel. -AGENSI