NEW YORK: Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi menegaskan Iran tidak membangunkan senjata nuklear, sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu yang sering memutar belit kenyataan rasmi agensi tersebut.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Grossi berkata, IAEA tidak pernah menyatakan Iran cuba membina senjata nuklear.
“Saya ingin jelaskan perkara ini. Kami sering disalah petik dan ramai mendakwa kami berkata sesuatu yang tidak pernah kami katakan,” katanya.
Menurut Grossi, kerjasama antara Iran dan IAEA berubah-ubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan perkembangan politik semasa. Namun, Teehran tetap menegaskan komitmennya terhadap Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT).
Beliau berkata, pengurangan kerjasama bukanlah langkah yang wajar, namun memuji keputusan Iran untuk kekal dalam perjanjian tersebut.
Grossi turut memaklumkan pemeriksaan IAEA di Iran digantung sementara atas faktor keselamatan berikutan perang 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun lalu. Bagaimanapun, usaha untuk menyambung semula pemeriksaan giat dijalankan menerusi satu perjanjian yang dimeterai di Kaherah pada September lalu di bawah pengantaraan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.
“Perjanjian itu mungkin tidak sempurna, tetapi ia berfungsi,” katanya.
Ketika diminta mengulas serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap tapak nuklear Iran semasa perang tersebut, Grossi mengesahkan tiga fasiliti utama negara itu mengalami kerosakan besar yang menjejaskan kemajuan program nuklear Iran.
Beliau berkata, serangan seperti itu hanya menyukarkan lagi tugas pemeriksa IAEA untuk memantau keadaan semasa.

 
								 
											








