Indonesia, Pakistan dan Azerbaijan jadi calon utama sertai pasukan pengaman di Gaza - Utusan Malaysia

Indonesia, Pakistan dan Azerbaijan jadi calon utama sertai pasukan pengaman di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Indonesia, Azerbaijan dan Pakistan dikenal pasti sebagai antara calon utama untuk menyertai pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza, menurut seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan bekas pegawai pertahanan yang enggan dinamakan..

Setakat ini, tiada negara membuat komitmen rasmi, namun ketiga-tiganya menunjukkan minat paling tinggi dalam menyertai pasukan tersebut. Perbincangan masih berjalan dan struktur akhir pasukan penstabilan itu belum dimuktamadkan.

Pasukan penstabilan antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Perkara Trump untuk Keamanan Gaza, yang merangkumi kerjasama dengan negara Arab dan lain-lain rakan antarabangsa untuk melatih dan menyokong pasukan polis Palestin yang telah ditapis serta berunding dengan Mesir dan Jordan.

AS memaklumkan tiada tentera Amerika akan dihantar ke Gaza. Sebaliknya, mereka akan membantu dari luar melalui pasukan koordinasi yang akan ditempatkan di Israel, berhampiran sempadan Gaza.

Sebanyak 200 tentera AS dikerahkan ke Israel untuk membantu penyelarasan di pusat koordinasi awam-ketenteraan. Pasukan dari Mesir, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu juga dijangka menyertai pusat itu.

Namun, sumber menyatakan kehadiran negara seperti Indonesia dan Azerbaijan menambah lapisan kerumitan kerana kedua-duanya tidak berada di bawah kawasan tanggungjawab CENTCOM (Komando Pusat Tentera AS), yang menyelia operasi di Asia Barat.

Bekas pegawai Pentagon, Dan Shapiro berkata, sekiranya pelan ini mahu diteruskan, penyertaan negara-negara terlibat perlu ditentukan seawal mungkin. Menurutnya, pembentukan pasukan ini boleh mengambil masa dua hingga tiga bulan selepas keputusan dibuat.

Trump sebelum ini mendakwa bahawa Hamas bersetuju untuk melucutkan senjata dan telah membebaskan baki tebusan yang masih hidup, namun Israel menuduh Hamas melanggar perjanjian kerana masih belum memulangkan semua mayat mangsa yang meninggal dunia semasa ditawan.

Shapiro berkata, pengumuman negara yang bakal menyertai pasukan ini akan membantu mengurangkan rasa skeptikal terhadap kemampuan AS melaksanakan pelan damai ini. Ia juga akan memberi isyarat jelas bahawa usaha membina semula Gaza telah bermula secara konkrit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN