JAKARTA: Indonesia mengumumkan pembelian sekurang-kurangnya 42 unit jet pejuang J-10C buatan China, menandakan perjanjian pertama negara itu dengan pembekal ketenteraan bukan Barat.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin yang menyatakan pesawat tempur tersebut akan segera kelihatan di ruang udara Jakarta sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memodenkan ketenteraan negara itu.
Sjamsoeddin enggan mengulas lanjut mengenai perincian pembelian, namun kenyataannya mengesahkan laporan terdahulu mengenai Kementerian Pertahanan sudah membuat keputusan membuat pembelian aset ketenteraan dari Beijing.
Jurucakap kementerian, Brigedier Jeneral Frega Wenas, sebelum ini mendedahkan Tentera Udara Indonesia menilai prestasi jet pejuang tersebut bagi memastikan keupayaannya memperkukuh pertahanan udara negara.
Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, turut mengesahkan kerajaan meluluskan bajet melebihi AS$9 bilion (RM38 bilion) untuk pembelian pesawat itu. B
Beliau berkata, semua persediaan sudah dibuat, namun tarikh penghantaran sebenar dari Beijing ke Jakarta masih perlu disemak semula.
Pembelian ini adalah sebahagian daripada agenda besar Presiden Prabowo Subianto untuk memperkasa keupayaan tentera dan membina industri pertahanan nasional.
Sejak dilantik sebagai menteri pertahanan pada 2019, Prabowo aktif menjalin kerjasama ketenteraan dengan pelbagai negara termasuk China, Perancis, Russia, Turkiye dan Amerika Syarikat (AS)
Indonesia yang sebelum ini menggunakan pesawat tempur buatan AS, Russia dan Britain, kini mula merapatkan hubungan pertahanan dengan negara-negara bukan Barat.
Pada Januari 2024, Indonesia memuktamadkan pembelian 42 pesawat Rafale dari Perancis dan mengumumkan pembelian dua kapal selam Scorpene serta 13 radar Thales.
Turkiye pula bakal mengeksport 48 jet pejuang KAAN ke Indonesia, seperti diumumkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.