Harga minyak dunia naik selepas AS sekat syarikat Russia - Utusan Malaysia

Harga minyak dunia naik selepas AS sekat syarikat Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Harga minyak dunia melonjak hampir tiga peratus semalam selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu terhadap dua syarikat minyak terbesar Russia, Rosneft dan Lukoil, dalam langkah Washington menekan Moscow menamatkan perang di Ukraine.

Langkah drastik yang diumumkan oleh Jabatan Perbendaharaan AS itu menandakan perubahan ketara dalam dasar Presiden Donald Trump terhadap Russia, selepas beliau sebelum ini dilihat berusaha mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Vladimir Putin di Budapest.

Namun, Trump dalam kenyataan terbaharunya mengumumkan pembatalan sidang tersebut, dengan alasan tidak yakin rundingan itu akan membawa hasil yang diharapkan.

“Saya tidak rasa kita akan mencapai matlamat yang perlu dicapai, jadi saya batalkan dahulu. Mungkin akan diadakan pada masa akan datang,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, sekatan itu bertujuan menyekat sumber kewangan utama Russia yang digunakan bagi membiayai peperangan di Ukraine sejak Februari 2022.

“Memandangkan Presiden Putin enggan menamatkan perang yang tidak masuk akal ini, Perbendaharaan mengenakan sekatan terhadap dua syarikat minyak terbesar Russia yang menjadi sumber dana utama mesin perang Kremlin,” katanya.

Kementerian Luar Russia dalam reaksi segera menyifatkan langkah AS sebagai tidak produktif dan menegaskan matlamat Moscow di Ukraine tidak akan berubah.

Hasil minyak dan gas yang menyumbang kira-kira satu per empat daripada bajet negara itu dilaporkan merosot 21 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus menambah tekanan terhadap ekonomi Russia yang kini bergelut dengan inflasi tinggi dan kejatuhan nilai ruble.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyambut baik tindakan Washington dan menyifatkan sekatan itu sebagai “sangat penting”, namun menegaskan tekanan terhadap Moscow perlu diteruskan.

Pasaran minyak global turut menunjukkan reaksi segera apabila harga minyak mentah Brent meningkat hampir tiga peratus kepada lebih AS$89 setong, manakala India dilaporkan menimbang semula untuk mengurangkan import minyak dari Russia.

Jabatan Perbendaharaan AS memberi tempoh sehingga 21 November ini kepada semua syarikat dan entiti antarabangsa untuk menamatkan urus niaga dengan Rosneft serta Lukoil.

Penganalisis menjangkakan langkah itu boleh memaksa Russia menawarkan minyaknya dengan potongan harga lebih besar, namun kesannya mungkin diimbangi oleh peningkatan harga global yang mampu menyokong semula pendapatan Moscow.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN