'Hanya segelintir penduduk terselamat dalam keganasan di El-Fasher' - Utusan Malaysia

‘Hanya segelintir penduduk terselamat dalam keganasan di El-Fasher’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Pertubuhan kemanusiaan menyuarakan kebimbangan hanya sebahagian kecil mangsa yang berjaya melarikan diri selepas pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF), menawan bandar El-Fasher di wilayah Darfur, Sudan, sekali gus mencetuskan tragedi berdarah yang meragut ratusan nyawa.

Menurut laporan, ratusan penduduk dipercayai terbunuh sama ada ketika serangan mahupun dalam usaha mereka melarikan diri ke kawasan selamat dan kebanyakan mereka yang terselamat kini tiba di bandar Tawila, kira-kira 60 kilometer dari El-Fasher, dengan berjalan kaki dalam keadaan trauma dan kekurangan makanan.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memaklumkan sekurang-kurangnya 460 orang dilaporkan terbunuh di Hospital Saudi di El-Fasher akibat keganasan yang berlaku.

Saksi memaklumkan kepada Associated Press (AP) pejuang RSF telah menyerbu dari rumah ke rumah, memukul serta menembak penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, RSF semalam menafikan melakukan pembunuhan di hospital tersebut ketika kecaman antarabangsa semakin memuncak.

Komunikasi yang terputus di sekitar El-Fasher menyukarkan usaha menilai tahap sebenar kemusnahan, sementara imej satelit menunjukkan mayat bergelimpangan di jalan-jalan utama selepas serangan tersebut.

“Bilangan mangsa yang tiba di Tawila sangat kecil dan hal itu amat membimbangkan kami. Persoalannya, ke mana yang lain?” kata Malthide Vu, pengurus advokasi Majlis Pelarian Norway (NRC) yang mengendalikan kem pelarian di Tawila.

Presiden International Rescue Committee (IRC), David Miliband, turut memberi amaran ratusan ribu nyawa kini dalam bahaya di El-Fasher dan kawasan sekitarnya.

“Laluan selamat untuk orang awam mesti dijamin. Bantuan perlu segera digandakan dan dibiayai, sementara semua pihak harus menghormati kewajipan melindungi orang awam,” tegasnya.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengesahkan kira-kira 460 pesakit dan pengiring maut dalam serangan di Hospital Saudi, namun angka itu belum dapat disahkan secara bebas akibat keadaan yang tidak stabil.

Sementara itu, laporan Humanitarian Research Lab dari Sekolah Kesihatan Awam Universiti Yale mengesahkan melalui imej satelit RSF telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di sekitar Hospital Saudi serta di pusat tahanan berhampiran bekas Hospital Kanak-Kanak di timur bandar berkenaan.

Laporan itu menyatakan pembunuhan sistematik dilakukan di kawasan berhampiran tembok timur yang dibina RSF awal tahun ini.

Keganasan yang bermula sejak 2023 antara tentera Sudan dan RSF telah meragut lebih 40,000 nyawa, menjadikan konflik itu antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia dengan lebih 14 juta penduduk hilang tempat tinggal.

Kedua-dua pihak, tentera Sudan dan RSF, turut menghadapi dakwaan pelanggaran hak asasi manusia. Sebelum berakhir penggal pemerintahannya, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, telah mengisytiharkan bahawa RSF telah melakukan genosid dalam perang yang sedang berlangsung itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN