Gunung berapi ‘tidur’ selama 700,000 tahun mula aktif semula

Gunung berapi ‘tidur’ selama 700,000 tahun mula aktif semula

GUNUNG Berapi Taftan sebelum ini tidak aktif selama 700,000 tahun. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sebuah gunung berapi yang dianggap sudah ‘mati’ selama lebih 700,000 tahun kini menunjukkan tanda-tanda aktif semula, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya letusan di masa terdekat.

Ahli geologi melaporkan kawasan tanah di sekitar Gunung Berapi Taftan di tenggara Iran menunjukkan pengembungan luar biasa, menandakan kemungkinan wujud tekanan gas yang meningkat di bawah permukaan bumi.

Bau gas sulfur turut dapat dihidu sejauh 50 kilometer dari bandar Khash, dan penduduk tempatan mula membincangkan fenomena itu dalam media sosial.

Menurut pakar gunung berapi Pablo González, tekanan tersebut akhirnya perlu dilepaskan juga sama ada melalui letusan besar atau aktiviti kecil yang lebih perlahan.

“Tiada sebab untuk panik buat masa ini, namun gunung berapi ini perlu dipantau dengan lebih teliti,” katanya.

Gunung Taftan, sejenis stratovolcano (gunung berapi berlapis lava dan abu seperti Gunung St. Helens atau Gunung Vesuvius), kali terakhir meletus ketika manusia masih hidup secara nomad dan baru mula menggunakan alat batu serta membina tempat perlindungan asas.

Dalam kajian satelit yang dilakukan pada 2020, seorang daripada pelajar doktor falsafah González tidak menemui sebarang perubahan ketara.

Namun pada 2023, selepas tular laporan bau sulfur, penyelidik Mohammadhossein Mohammadnia meneliti semula imej satelit dan mendapati permukaan gunung tersebut naik sekitar sembilan sentimeter, peningkatan besar bagi gunung tidak aktif sejak Zaman Batu.

Kajian lanjut menunjukkan aktiviti itu berpunca dari kedalaman antara 500 hingga 600 meter, dipercayai akibat pergerakan gas atau kantung kecil magma di bawah tanah.

González menegaskan penyelidikan ini bukan bertujuan menimbulkan panik, sebalik­nya amaran awal kepada pihak berkuasa Iran supaya memperuntukkan sumber dan kepakaran bagi menjalankan pemantauan gas serta aktiviti seismik di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN