ISTANBUL: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang belayar untuk mencabar sekatan Israel ke atas Gaza mengumumkan kapal-kapalnya kini berada kurang daripada 150 batu nautika atau 277 kilometer dari wilayah yang dikepung itu.
“Hanya tinggal 144 batu nautika. Kami telah memasuki zon berisiko tinggi sejauh 6 batu. Jumlah dron yang berlegar di atas kapal kami telah berganda, dan gangguan internet serta radio lebih kuat daripada biasa. Kami semua sudah bersedia untuk detik pemintasan, sama ada malam ini atau esok,” kata jurucakap armada Maghreb flotila itu, Wael Naouar di platform media sosial facebook.
Seorang wartawan Al Jazeera yang berada di atas kapal melaporkan terdapat dron peninjau tidak dikenali berlegar pada altitud sederhana di kawasan perairan Mediterranean tempat flotila itu berlayar.
Sebuah kapal Tentera Laut Israel dikesan berada 80 kilometer dari flotila tersebut, menurut aktivis Turkiye, Muhammed Salih dari kapal layar Adagio.
“Kami sudah menjangkakan pemintasan atau serangan Israel sama ada malam ini atau esok malam. Besar kemungkinan ia berlaku malam ini. Kami berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Semua sudah memakai jaket keselamatan dan menunggu di dek,” kata Salih dalam video di Instagram.
Penganjur flotila mengeluarkan amaran kritikal, menyeru perhatian antarabangsa.
“Keselamatan kami bergantung kepada dunia yang sedang memerhati,” tegasnya.
Mereka menekankan pekerja dan aktivis di seluruh dunia sedang bersiap untuk mengadakan mobilisasi besar-besaran sebagai tanda solidariti serta menuntut laluan selamat bagi flotila itu.
“Serangan ke atas flotila adalah serangan ke atas Palestin,” tegas kenyataan itu, menyeru penyokong di seluruh dunia menyebarkan mesej, menyertai tindakan bersama dan menentang genosid berterusan di Gaza.
Flotila yang membawa bekalan kemanusiaan dan aktivis antarabangsa itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memecahkan sekatan Israel yang telah bertahun-tahun memburukkan keadaan hidup di Gaza.
Pada Selasa, penyiar rasmi Israel KAN melaporkan flotila itu memasuki zon pemintasan Israel, dengan Tentera Laut Israel bersiap untuk menawan kapal-kapal tersebut.
Pihak berkuasa Israel merancang memindahkan aktivis flotila ke kapal perang besar dan menunda kapal-kapal itu ke pelabuhan Ashdod, dengan kemungkinan ada yang tenggelam.
Israel menegaskan tidak akan membenarkan flotila itu sampai ke Gaza, selaras dengan arahan politik.
Terdahulu, Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Sekatan Gaza menyatakan di platform X, kapal Al-Dhamir yang diperuntukkan bagi doktor dan wartawan antarabangsa, sedang belayar menuju Gaza dari pelabuhan Otranto di Itali.
Flotila yang sarat dengan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan itu mula berlayar pada akhir Ogos dan awal September bagi mencabar sekatan Israel.
Ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun, puluhan kapal belayar bersama menuju Gaza, yang didiami sekitar 2.4 juta rakyat Palestin dan berada di bawah sekatan Israel sejak hampir 18 tahun lalu.










