Genosid Gaza: PM Itali, dua menteri didakwa di ICC

Genosid Gaza: PM Itali, dua menteri didakwa di ICC

GIORGIA MELONI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mendedahkan beliau serta dua menterinya dilaporkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi tuduhan bersekongkol dalam jenayah genosid oleh tentera Israel di Gaza.

Dalam wawancara bersama penyiar nasional RAI pada Selasa, Meloni berkata, antara yang turut dinamakan ialah Menteri Pertahanan, Guido Crosetto dan Menteri Luar, Antonio Tajani, serta kemungkinan juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pertahanan Leonardo, Roberto Cingolani.

“Saya rasa tidak ada kes lain seperti ini dalam sejarah dunia,” kata Meloni sambil menyatakan kekesalannya, namun beliau tidak menjelaskan siapakah pihak yang mengemukakan laporan itu kepada ICC.

Tuduhan itu hadir ketika kerajaan Meloni berdepan tekanan dalaman yang semakin hebat selepas ratusan ribu rakyat Itali turun ke jalan raya minggu lalu membantah pembunuhan beramai-ramai di Gaza serta mengecam sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan terhadap Israel.

Meskipun kerajaan kanan Meloni sebelum ini merupakan sekutu kuat Israel, Itali sejak kebelakangan ini mula menjarakkan diri daripada tindakan ketenteraan Israel, menyifatkannya sebagai “tidak seimbang”.

Namun, tiada hubungan dagangan atau diplomatik yang diputuskan dan Itali juga belum mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.

Meloni menafikan sebarang penglibatan dan menegaskan Itali tidak pernah meluluskan penghantaran senjata baharu ke Israel selepas 7 Oktober 2023

“Sesiapa yang tahu situasi sebenar pasti sedar hal ini,” katanya.

Mengulas dakwaan terhadap Cingolani, jurucakap syarikat Leonardo menegaskan tuduhan itu adalah fitnah serius dan telah dinafikan dalam satu temu bual sebelum ini bersama akhbar Corriere della Sera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN