ISTANBUL: Sebuah konvoi kemanusiaan baharu yang menuju ke Gaza kini dilaporkan berada hanya 150 batu nautika (277 kilometer) dari destinasi, menurut kenyataan penganjur pada petang Selasa.
Ketibaan konvoi itu semakin menghampiri kawasan berisiko iaitu lokasi yang sebelum ini menyaksikan beberapa serangan oleh tentera laut Israel.
“Flotila kami kini berada dalam jarak 150 batu nautika dari pantai Gaza, menghampiri zon lokasi misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Global Sumud Flotilla yang sebelum ini diserang oleh Israel,” menurut kenyataan rasmi FFC di saluran Telegram, seperti dipetik agensi berita Anadolu Ajansi.
Konvoi itu terdiri daripada sembilan buah kapal yang membawa kira-kira 100 aktivis awam dari pelbagai negara. Ia merupakan sebahagian daripada misi “Thousand Madleens to Gaza”, anjuran FFC, yang bertujuan mencabar sekatan Israel dan menghantar mesej solidariti kepada penduduk Gaza yang dikepung.
Freedom Flotilla Coalition, yang ditubuhkan pada 2008, telah melancarkan puluhan misi kemanusiaan ke Gaza sepanjang 15 tahun terakhir.
Tujuannya bukan sahaja untuk menghantar bantuan perubatan dan makanan, tetapi juga untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat sekatan Israel.
Konvoi terkini ini digerakkan hanya seminggu selepas insiden di mana tentera laut Israel menyerang lebih 40 buah kapal yang turut berlayar ke Gaza dalam usaha mencabar sekatan. Dalam operasi tersebut, lebih 450 aktivis telah ditahan oleh pihak Israel.
“Konvoi ini menghampiri kawasan sama yang menyaksikan flotila terdahulu dipintas secara ganas oleh Israel. Kami menggesa masyarakat dunia terus memantau perkembangan ini,” menurut satu lagi kenyataan dari akaun rasmi @GlobalSumud di platform X (Twitter).
Meskipun menghadapi risiko rampasan dan penahanan, FFC menegaskan bahawa misi mereka akan diteruskan sehingga sekatan haram terhadap Gaza dihentikan sepenuhnya.