BRUSSELS: Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mula melaksanakan Sistem Kemasukan dan Keluar (EES) di sempadan luar blok itu, bagi mendaftarkan secara elektronik data pelancong yang bukan warganegara EU.
Sistem automatik itu memerlukan pelancong mengimbas pasport serta merekodkan cap jari dan gambar wajah mereka semasa melalui kawalan sempadan. Pelaksanaan penuh dijangka mengambil masa enam bulan.
Langkah tersebut bertujuan mengesan pelancong yang melebihi tempoh visa, membanteras penipuan identiti dan mencegah migrasi haram di tengah-tengah tekanan politik di beberapa negara EU untuk memperketat kawalan imigresen.
“Sistem EES ini merupakan tulang belakang digital kepada rangka kerja baharu migrasi dan suaka bersama Eropah,” kata Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri dan Migrasi EU, Magnus Brunner dalam satu kenyataan dipetik Reuters.
Warganegara bukan EU perlu mendaftar butiran peribadi mereka semasa pertama kali memasuki kawasan Schengen yang meliputi semua negara anggota EU kecuali Ireland dan Cyprus, serta termasuk Iceland, Norway, Switzerland dan Liechtenstein.
Untuk perjalanan berikutnya, hanya pengesahan wajah biometrik diperlukan.
Sistem ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada 10 April 2026 dengan proses mengecop pasport digantikan sepenuhnya oleh rekod elektronik.
“Setiap warga negara bukan EU yang tiba di sempadan luar akan melalui pengesahan identiti, pemeriksaan keselamatan dan pendaftaran dalam pangkalan data EU. Tempoh enam bulan ini memberi ruang kepada negara anggota, pelancong dan sektor perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan prosedur baharu,” kata Brunner
Bagi pelancong dari United Kingdom (UK), pemeriksaan EES akan dijalankan sebelum mereka meninggalkan negara itu, termasuk di Pelabuhan Dover, terminal Eurotunnel di Folkestone dan terminal Eurostar di St. Pancras, London.
Mulai Ahad, hanya kenderaan barangan dan bas di Dover dan Eurotunnel akan menjalani pemeriksaan EES, manakala pemeriksaan bagi kenderaan penumpang akan bermula pada November di Dover dan hujung tahun di Eurotunnel.
Sementara itu, Eurostar di St. Pancras akan memperkenalkan sistem tersebut secara berperingkat, bermula dengan beberapa kumpulan pelancong perniagaan.
“Kami sedar pemeriksaan EES akan menjadi perubahan besar bagi pelancong Britain. Oleh itu, kami bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Eropah bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“UK dan EU berkongsi matlamat untuk memperkukuh keselamatan sempadan. Langkah pemodenan ini akan membantu melindungi rakyat serta menghalang migrasi haram,” kata Menteri Keselamatan Sempadan dan Suaka UK, Alex Norris.










