Eropah, Ukraine kemuka cadangan baharu tamatkan perang Russia

Eropah, Ukraine kemuka cadangan baharu tamatkan perang Russia

PASUKAN penyelamat Ukraine berusaha memadam kebakaran di sebuah bangunan kediaman selepas serangan udara Russia di Zaporizhzhia, selatan Ukraine.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Negara-negara Eropah bekerjasama dengan Ukraine bagi merangka satu cadangan baharu gencatan senjata peperangan dengan Russia berdasarkan garis pertempuran semasa.

Menurut empat diplomat Eropah, rancangan itu kebanyakannya menggabungkan idea yang dibincangkan sebelum ini sambil menekankan peranan penting Amerika Syarikat (AS).

Seorang diplomat kanan Eropah berkata, cadangan itu termasuk penubuhan sebuah lembaga damai yang akan dipengerusikan oleh Presiden AS, Donald Trump bagi menyelia pelaksanaan pelan berkenaan.

“Ia merupakan usaha penasihat keselamatan negara untuk memastikan AS kekal terlibat,” kata diplomat tersebut.

Pemimpin-pemimpin Eropah pada Selasa menyeru Washington agar terus bertegas menuntut gencatan senjata segera di Ukraine, dengan garis pertempuran sedia ada dijadikan asas bagi sebarang rundingan masa depan.

Kerajaan Russia sejak awal lagi menuntut agar Ukraine menyerahkan lebih banyak wilayah sebelum sebarang gencatan senjata dapat dicapai.

Seramai 35 sekutu Ukraine dijangka bertemu di London pada Jumaat ini dalam satu sidang kemuncak yang menghimpunkan negara-negara yang bersedia memberi sokongan jangka panjang kepada Kyiv.

Tiga lagi diplomat mengesahkan cadangan baharu sedang disiapkan, dengan seorang menjelaskan idea mengenai lembaga damai itu diilhamkan daripada rancangan 20 perkara AS di Gaza.

Menurut diplomat kanan itu, sebaik sahaja kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, rundingan mengenai sempadan dan wilayah akan diadakan, namun tanpa pengiktirafan rasmi terhadap mana-mana kawasan yang kini diduduki Russia.

“Ia merupakan usaha yang pernah kami lakukan pada Mei dan Ogos lalu. Secara asasnya ini satu cubaan berdasarkan cadangan lama, tetapi dengan beberapa elemen baharu,” jelasnya.

Cadangan itu juga menegaskan sekatan EU terhadap Russia akan ditarik balik secara berperingkat mengikut komitmen yang dipenuhi negara itu, sambil mencadangkan agar sebahagian aset Moscow yang dibekukan digunakan untuk membiayai bayaran pampasan kepada Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN