Derita penduduk Gaza belum berakhir

Derita penduduk Gaza belum berakhir

TRAK sarat dengan bantuan kemanusiaan diletakkan di persimpangan Rafah sebelah Mesir, sementara menunggu untuk mendapatkan akses ke Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Walaupun selepas lebih lima hari gencatan senjata bermula, derita penduduk Gaza terus berIarutan apabila masalah bekalan makanan, keperluan perubatan, kekurangan air dan elektrik masih menghantui dan sukar disalurkan secara menyeluruh di wilayah terkepung itu.

Pelajar Mahmoud Emad Rostom yang kini berada di Khan Younis memberitahu BBC Radio 4, penduduk Gaza kini mula menemui buah-buahan dan sayur-sayuran yang sebelum ini sukar diperoleh sejak tiga bulan lalu.

“Saya rasa kami boleh mendapatkan ayam dan daging tidak lama lagi, tetapi harganya pasti tinggi kerana ini kali pertama produk seperti daging dan ayam muncul di pasaran sejak enam atau lapan bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, wartawan, Ghada Al Kourd yang berada di tengah Gaza dan dalam perjalanan pulang ke Gaza City berkata, sukar untuk meneruskan hidup kerana kebanyakan kawasan di bandar itu musnah sama sekali.

“Tiada bekalan air, tiada elektrik, tidak seperti semasa gencatan senjata pada Januari lalu,” katanya.

Gencatan senjata rapuh di Gaza berdepan ujian pertama apabila Israel mengumumkan aliran bantuan ke wilayah Palestin itu akan dikurangkan separuh dan lintasan sempadan Rafah dengan Mesir tidak akan dibuka seperti yang dirancang.

Rejim itu yang berjanji untuk membuka lintasan penting itu semalam, terus berdolak dalik tentang usaha bantuan yang akan dibenarkan melalui kawasan tersebut.

Israel memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, ia hanya akan membenarkan 300 trak bantuan, separuh daripada jumlah yang dipersetujui sebelum ini, untuk memasuki Gaza setiap hari bermula Rabu.

Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di Gaza mengesahkan menerima notis daripada Penyelarasan Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT), cabang tentera Israel yang menyelia aliran bantuan ke Gaza.

Menurut laporan penyiar awam Israel Kan, pembukaan semula lintasan berkenaan akan dilaksanakan dengan kelulusan keselamatan Israel.

KEPERLUAN MENDESAK

Menurut notis COGAT, tiada bahan api atau gas akan dibenarkan masuk ke wilayah yang dilanda perang itu kecuali bagi keperluan khusus yang berkaitan dengan infrastruktur kemanusiaan.

Wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari Gaza City, Hani Mahmoud menegaskan kebenaran untuk kemasukan 300 trak bantuan setiap hari ‘hampir tidak mencukupi’ untuk wilayah yang dilanda kebuluran.

“300 trak tidak mencukupi. Ia tidak akan mengubah apa-apa,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa organisasi bantuan kemanusiaan sebelum ini berulang kali menggesa pembukaan semula lintasan utama Rafah, ketika Gaza berdepan krisis kemanusiaan yang amat parah selepas dua tahun peperangan.

Pada penghujung Ogos lalu, PBB mengisytiharkan berlakunya kebuluran di Gaza, namun Israel menolak dakwaan tersebut, sambil menegaskan laporan berkenaan tidak berasas.

Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jens Laerke berkata, PBB mempunyai 190,000 tan metrik bantuan yang sedia untuk dihantar ke Gaza.

Sementara itu, jurucakap Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Ricardo Pires, turut memaklumkan badan itu turut mempunyai sekitar 1,370 trak yang sedia untuk memasuki wilayah itu.

“Tahap kemusnahan amat besar sehingga memerlukan sekurang-kurangnya 600 trak sehari, itulah sasaran kami. Kita masih jauh daripada mencapai angka itu,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menekankan keperluan untuk menghantar lebih banyak bantuan ke Gaza.

“Kita perlu meningkatkan penghantaran bekalan perubatan kerana tekanan terhadap hospital tidak akan reda dalam masa singkat.

“Kita perlu membawa sebanyak mungkin bekalan sekarang bagi memastikan petugas kesihatan yang masih memberikan rawatan mempunyai segala keperluan tersebut,” kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic, kepada pemberita.

Kelewatan membuka persimpangan Rafah mengecewakan pegawai kemanusiaan di Gaza, yang memaklumkan hanya bekalan terhad dibenarkan masuk sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai.

UGUT HAMAS

Pada Isnin, tiada trak bantuan dibenarkan masuk dari Israel kerana laluan digunakan bagi penghantaran tebusan yang dibebaskan di Gaza, manakala kelmarin ditutup ekoran sambutan perayaan agama Yahudi.

Namun pada Selasa, Israel mengancam untuk terus menutup lintasan Rafah dan mengurangkan separuh aliran bantuan ke wilayah Palestin itu selepas memberi alasan Hamas gagal memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, termasuk menyerahkan mayat tebusan yang masih ditahan.

Sekatan itu diumumkan beberapa jam selepas pasukan Israel membunuh sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin dalam serangan di utara dan selatan Gaza, menurut sumber perubatan kepada Al Jazeera.

Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh akibat serangan tentera Israel di Gaza City, manakala tiga lagi maut dalam kejadian di Khan Younis.

Israel sengaja meletakkan ‘beban’ keputusan itu kepada Hamas apabila menyalahkan kumpulan pejuang tersebut atas kelewatan pemulangan mayat tebusan.

Beberapa jam kemudian, Hamas segera menyerahkan empat keranda berisi mayat tebusan kepada Israel melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), menjadikan jumlah mayat yang dipindahkan kepada lapan sejak gencatan senjata berkuat kuasa, dengan 20 lagi masih belum dikenal pasti.

Tiga daripadanya dikenal pasti sebagai warga Israel, namun laporan media rejim itu menyebut terdapat keraguan mengenai identiti mayat keempat yang diserahkan.

Hamas sebelum ini menegaskan usaha mendapatkan semula mayat beberapa tebusan mungkin mengambil masa lebih lama kerana tidak semua lokasi mereka ditahan diketahui, selain kemusnahan besar yang dilakukan Israel di wilayah itu.

ICRC memberi amaran usaha pencarian merupakan ‘cabaran besar’ memandangkan kesukaran untuk mengesan mayat di bawah runtuhan, dan mungkin mengambil masa beberapa hari.

Namun, Israel bertindak balas dengan tegas, menuduh Hamas sengaja melengahkan proses tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN