LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan bernilai AS$27 juta (RM114 juta) untuk Gaza sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat konflik berlarutan antara Israel dan Hamas sejak dua tahun lalu.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer, mengumumkan komitmen itu semasa menghadiri sidang kemuncak pemimpin dunia di Mesir, yang bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang kepada konflik Palestin-Israel serta menyokong pelaksanaan pelan damai dan gencatan senjata yang kini memasuki hari ketiga.
Bantuan kemanusiaan UK itu akan disalurkan melalui tiga agensi utama iaitu UNICEF, Program Makanan Sedunia (WFP), dan Majlis Pelarian Norway (NRC), dengan tumpuan utama kepada penyediaan air bersih dan perkhidmatan sanitasi kecemasan, penambahbaikan kesihatan awam dan menangani kekurangan zat makanan dan risiko penyakit berjangkit
Menurut kenyataan rasmi, dana tersebut akan memberi manfaat kepada komuniti paling terjejas akibat kemusnahan infrastruktur asas di Gaza, termasuk hospital, sistem paip dan pusat kesihatan awam.
Starmer menyatakan bantuan ini bukan sekadar reaksi kepada krisis semasa, tetapi merupakan langkah awal dalam komitmen jangka panjang UK untuk membantu pemulihan dan pembinaan semula Gaza.
“Kita mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak, bukan sahaja ketika konflik berlaku, tetapi juga untuk menyokong proses pemulihan jangka panjang agar rakyat Gaza kembali hidup dengan maruah dan harapan,” katanya.
Pengumuman ini hadir selari dengan fasa awal pelaksanaan pelan damai antara Israel dan Hamas, yang turut melibatkan pembebasan tebusan, penarikan tentera dan kelonggaran laluan bantuan kemanusiaan.
UK juga menyatakan kesediaan untuk berperanan secara diplomatik dan teknikal dalam memastikan proses damai dapat diteruskan dengan kestabilan jangka panjang.










