BAGHDAD: Amerika Syarikat (AS) telah memulakan proses pengunduran tenteranya di Iraq selaras dengan perjanjian yang ditandatangani bersama kerajaan Iraq tahun lalu, sekali gus mengurangkan kira-kira 20 peratus kehadiran pasukan yang ditugaskan memerangi kumpulan pengganas Daesh.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, dalam kenyataan pada lewat Selasa berkata, langkah itu mencerminkan kejayaan bersama Washington dan Baghdad dalam mengekang ancaman Daesh.
Menurut seorang pegawai pertahanan kanan yang enggan dikenali, tanggungjawab memerangi saki-baki Daesh kini mula dipindahkan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan Iraq selepas hampir sedekad mereka menerima latihan daripada tentera AS.
Pengunduran itu menyaksikan penutupan beberapa pangkalan termasuk di Baghdad dan pangkalan udara Ain Al-Asad di barat Iraq, dengan baki anggota dipindahkan ke Irbil, bandar di wilayah autonomi Kurdistan di utara negara itu.
Jumlah anggota AS dijangka kurang daripada 2,000 selepas proses rundingan selesai, berbanding lebih 2,500 ketika ini.
Sebagai perbandingan, kira-kira 20,000 tentera AS pernah ditempatkan di Iraq sedekad lalu.
Seorang pegawai keselamatan Iraq berkata, hanya sebilangan kecil penasihat tentera asing masih kekal di pusat komando bersama.
Parnell menegaskan, AS akan mengekalkan penyelarasan rapat dengan kerajaan Iraq dan rakan-rakan pakatan bagi memastikan peralihan yang bertanggungjawab.
Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al-Sudani sebelum ini memberitahu Associated Press kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan menjelang akhir tahun untuk menyusun semula hubungan keselamatan dua hala.
Walaupun Daesh masih melancarkan serangan di Iraq dan Syria, pegawai pertahanan AS yakin pasukan keselamatan Iraq kini mampu menangani ancaman tersebut.
Pengurangan itu turut berlaku beberapa bulan selepas pentadbiran bekas Presiden Donald Trump menarik keluar kira-kira 600 anggota tenteranya dari Syria, dengan kurang daripada 1,000 masih kekal bekerjasama dengan sekutu Kurdish di negara itu. –AGENSI










