WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi serangan terhadap sebuah kapal di luar pesisir Venezuela pada Selasa, mengorbankan enam orang, menurut Presiden AS, Donald Trump.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump mendakwa kapal berkenaan milik kumpulan pengganas narkotik dan sedang menjalankan kegiatan penyeludupan dadah.
Serangan itu merupakan yang kelima dilancarkan pentadbiran Trump terhadap kapal yang dituduh menyeludup dadah di perairan antarabangsa sejak September lalu.
Secara keseluruhan, 27 individu dilaporkan terbunuh, namun Washington masih belum mengemukakan sebarang bukti atau maklumat mengenai identiti kapal mahupun individu yang terlibat.
Beberapa peguam antarabangsa menuduh AS melanggar undang-undang antarabangsa, manakala negara jiran seperti Colombia dan Venezuela mengecam keras tindakan berkenaan.
Trump dalam kenyataannya mendakwa risikan AS mengesahkan kapal itu sedang menyeludup dadah, mempunyai kaitan dengan rangkaian narkoteroris, dan sedang melalui laluan yang diketahui digunakan bagi kegiatan penyeludupan.
Beliau turut memuat naik rakaman video udara yang menunjukkan sebuah bot kecil di lautan diserang peluru berpandu sebelum meletup, namun Trump tidak menjelaskan kewarganegaraan individu yang menaiki kapal tersebut atau organisasi penyeludupan dadah yang dikatakan terlibat.
Serangan tersebut dilancarkan selepas satu memo sulit kepada Kongres yang bocor kepada media AS mendedahkan pentadbiran Trump mengklasifikasikan operasi menentang kartel dadah sebagai konflik bersenjata bukan antarabangsa disamping turut mengerahkan beberapa kapal perang ke rantau Caribbean.
Washington mempertahankan serangan terhadap kapal yang didakwa menyeludup dadah itu sebagai tindakan mempertahankan diri, namun ramai pakar undang-undang antarabangsa mempersoalkan kesahihan hujah tersebut.
Tindakan itu sebaliknya dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menekan kerajaan Presiden, Nicolás Maduro secara ketenteraan.
Walaupun Venezuela diketahui menjadi laluan sebahagian aktiviti penyeludupan dadah di rantau itu, negara berkenaan bukan antara lokasi utama berlakunya kegiatan tersebut berbanding negara lain di Amerika Latin.
Serangan tersebut turut berlaku selepas Washington menawarkan ganjaran berjumlah AS$50 juta (RM211 juta) bagi sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan Maduro, yang pilihan rayanya sebelum ini ditolak oleh sebahagian besar komuniti antarabangsa atas tuduhan penyelewengan dan penglibatan dalam penyeludupan dadah.
Kerajaan Venezuela sebelum ini menzahirkan kemarahan terhadap siri serangan berkenaan, manakala Maduro menafikan tuduhan Washington mengenai penglibatan beliau dalam aktiviti penyeludupan dadah. —AFP