WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan melancarkan satu lagi serangan terhadap sebuah kapal kecil di perairan Venezuela, dalam tindakan yang disifatkan sebagai ‘konflik bersenjata’ menentang kartel dadah.
Serangan yang diarahkan oleh Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth itu dilaporkan membunuh empat lelaki, yang didakwa ‘pengganas dadah’
Dalam satu kenyataan media sosial, Hegseth mendakwa kapal berkenaan membawa sejumlah besar dadah dan menyatakan tindakan ketenteraan itu adalah perlu untuk membanteras penyeludupan narkotik.
Presiden Donald Trump turut mendakwa kapal itu dipenuhi dengan dadah yang cukup untuk membunuh antara 25,000 hingga 50,000 orang dan menyatakan ia dalam perjalanan memasuki wilayah AS
Serangan ini adalah yang keempat dilancarkan di rantau Caribbean sejak bulan lalu, selepas Trump memberi kuasa kepada Pentagon untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap kartel yang telah diisytihar sebagai organisasi pengganas asing.
Memo dalaman yang bocor menyatakan Trump mengklasifikasikan kartel dadah sebagai kombatan haram, membolehkan tindakan ketenteraan tanpa keperluan kelulusan Kongres.
Namun, tindakan ini menerima kecaman daripada beberapa ahli politik Republikan sendiri. Senator Rand Paul menyifatkan langkah “meletupkan kapal tanpa mengetahui siapa berada di atasnya” sebagai polisi yang berbahaya dan menyalahi undang-undang.
“Jika mahu mengisytiharkan perang, datang ke Kongres dan bentangkan. Bukan hanya hantar memo dan terus bunuh orang yang tidak diketahui identitinya,” katanya.
Kecaman turut datang dari Venezuela. Naib Presiden Delcy Rodríguez menyifatkan tindakan AS sebagai “agresi perang” dan “hukuman mati luar kehakiman”.
Beliau berkata serangan itu bukan hanya menyerang Venezuela, tetapi turut memberi kesan kepada rantau Caribbean secara keseluruhan.
Presiden Nicolás Maduro pula menegaskan Venezuela akan mempertahankan haknya untuk wujud dan hidup secara aman, sambil memberi amaran, “jika perlu beralih kepada perjuangan bersenjata.”
Presiden Colombia, Gustavo Petro, turut mengecam tindakan AS, menyifatkannya sebagai pembunuhan. Dalam kenyataan di media sosial, beliau berkata tiada pengganas dadah di atas kapal itu sebaliknya yang terbunuh ialah anak muda miskin dari Caribbean.
Katanya, penjenayah sebenar berada di AS, Eropah dan Dubai.
Video serangan yang tersebar menunjukkan sebuah kapal kecil sedang bergerak sebelum meletup secara tiba-tiba di tengah laut. Kapal itu kemudiannya terbakar dan terapung dalam keadaan tidak bergerak.
Sehingga kini, empat serangan dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang, namun Pentagon masih belum menamakan mana-mana kumpulan yang menjadi sasaran.










