WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendedahkan menerima laporan yang boleh dipercayai mengenai rancangan kumpulan pejuang Palestin, Hamas melancarkan serangan terhadap orang awam di Gaza, sekali gus dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa.
Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS pada Sabtu, Washington memberi amaran serangan tersebut akan dianggap sebagai “pelanggaran langsung dan berat terhadap perjanjian gencatan senjata” serta menggugat segala kemajuan yang dicapai hasil usaha rundingan antarabangsa.
“Sekiranya Hamas meneruskan serangan ini, tindakan akan diambil bagi melindungi rakyat Gaza dan memastikan integriti perjanjian gencatan senjata dikekalkan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak memperincikan bentuk tindakan yang akan diambil.
Awal minggu ini, Presiden AS Donald Trump pernah mengeluarkan ancaman tegas terhadap Hamas berikutan tindakan kumpulan itu yang membunuh orang awam.
“Jika Hamas terus membunuh orang di Gaza yang bukan sebahagian daripada perjanjian, kami tiada pilihan selain masuk dan hapuskan mereka,” kata Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social.
Hamas dan Israel sebelum ini bersetuju dengan satu pelan damai berperingkat, yang menyaksikan Israel menamatkan operasi ketenteraan di Gaza sebagai pertukaran kepada pembebasan tebusan yang masih ditahan oleh Hamas sejak serangan berdarah pada 7 Oktober 2023.
Fasa pertama perjanjian tersebut kini dalam proses pelaksanaan, termasuk pembebasan tebusan yang masih hidup dan pemulangan mayat tebusan yang telah terkorban.
Washington turut memaklumkan negara-negara penjamin perjanjian damai termasuk Mesir, Qatar, Turkiye dan AS sendiri mengenai kemungkinan pelanggaran gencatan senjata yang bakal dilakukan oleh Hamas.