BEIRUT: Seorang anggota Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) cedera selepas terkena serpihan bom tangan yang dijatuhkan oleh dron Israel berhampiran kedudukan pasukan tersebut di selatan Lubnan, semalam.
UNIFIL dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan insiden itu merupakan kejadian ketiga seumpamanya dalam tempoh lebih sebulan.
“Beberapa minit sebelum tengah hari semalam, sebuah dron Israel menjatuhkan bom tangan yang meletup berhampiran kedudukan UNIFIL di Kfar Kela,” menurut kenyataan itu.
Seorang anggota pasukan pengaman dilaporkan cedera ringan dan telah menerima rawatan perubatan.
UNIFIL kini bekerjasama dengan tentera Lubnan bagi menyokong pelaksanaan gencatan senjata yang dimeterai pada November lalu, bertujuan menamatkan lebih setahun ketegangan antara Israel dan kumpulan pejuang Hezbollah yang sebelum ini mencetuskan peperangan terbuka selama dua bulan.
Awal bulan ini, UNIFIL melaporkan dron Israel turut menjatuhkan beberapa bom tangan berhampiran anggota pasukan pengaman yang sedang mengawal kawasan pembersihan runtuhan akibat peperangan.
Dalam kejadian berasingan pada September lalu, pasukan itu mendakwa empat bom tangan dijatuhkan berhampiran mereka oleh dron Israel namun, rejim tersebut ketika itu menegaskan tiada tembakan disengajakan yang ditujukan kepada pasukan pengaman berkenaan.
UNIFIL menyifatkan insiden terbaharu itu sebagai pelanggaran serius terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB dan menunjukkan pengabaian terhadap keselamatan anggota pasukan pengaman.
Resolusi 1701 yang diluluskan pada 2006 menamatkan konflik antara Israel dan Hezbollah serta menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai November lalu.
Di bawah perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat (AS) itu, kedua-dua pihak tersebut diwajibkan berundur dari kawasan selatan Lubnan, sementara UNIFIL ditempatkan bersama tentera Lubnan bagi membantu mengekang pembinaan semula infrastruktur milik Hezbollah.
Namun, Israel dilaporkan masih melancarkan serangan udara di Lubnan dengan alasan menyasarkan kedudukan Hezbollah, selain mengekalkan tenteranya di lima kawasan yang dianggap strategik.
“Kami sekali lagi menyeru agar tentera Israel menghentikan serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman yang sedang berusaha memulihkan kestabilan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” menurut kenyataan UNIFIL. -AGENSI