BANGKOK: Parti politik terbesar Thailand, Pheu Thai yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, semalam memilih pemimpin baharu selepas anaknya, Paetongtarn Shinawatra, meletakkan jawatan sebagai ketua parti minggu lalu.
Pemilihan itu dibuat selepas Paetongtarn, 39, disingkirkan daripada jawatan Perdana Menteri oleh mahkamah pada Ogos lalu kerana didapati melanggar etika dalam isu pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Menurut penganalisis politik, keputusan Paetongtarn untuk berundur sebagai langkah taktikal bagi melindungi Pheu Thai daripada kemungkinan tindakan undang-undang serta menandakan berakhirnya pengaruh keluarga Shinawatra yang mendominasi politik Thailand selama lebih dua dekad.
Dalam pemilihan yang disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi Facebook parti itu, ahli-ahli Pheu Thai sebulat suara memilih Julapun Amornvivat, bekas Timbalan Menteri Kewangan, sebagai pemimpin baharu parti berkenaan.
“Saya amat berbesar hati menerima kepercayaan ini dan berterima kasih kepada semua ahli parti yang memberi keyakinan kepada saya,” kata Julapun, 50, ahli parlimen dari wilayah Chiang Mai, kubu kuat Pheu Thai, selepas pengundian.
Julapun ialah anak kepada tokoh politik veteran, Sompong Amornvivat, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mengetuai Pheu Thai pada tahun 2019.
Beliau sebelum ini memainkan peranan penting dalam merangka dasar utama parti menjelang pilihan raya umum 2023, termasuk cadangan pemberian tunai 10,000 baht (RM1,300) kepada rakyat serta pelan menghalalkan operasi kasino di negara itu.
Bagaimanapun, pemerhati politik berpandangan siapa pun yang memimpin parti itu tetap akan beroperasi di bawah pengaruh kuat Thaksin dan keluarganya.
Keluarga Shinawatra selama ini menjadi pencabar utama kepada golongan elit pro-tentera dan pro-diraja Thailand yang melihat dasar populis mereka sebagai ancaman kepada struktur sosial tradisional negara itu.
Thaksin yang menubuhkan parti asal Pheu Thai pada penghujung 1990-an digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 dan hidup dalam buangan selama lebih sedekad.
Kini, bekas Perdana Menteri berusia 76 tahun itu menjalani hukuman penjara bagi kesalahan rasuah yang dilakukan ketika memegang tampuk pemerintahan.

 
								 
											









